KUALA LUMPUR – Soal perbelanjaan bukan lagi keutamaan buat pelakon Rita Rudaini, 50, apabila melibatkan persiapan anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin, 17, yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan ini.
Biarpun ada kalanya terkejut melihat jumlah bil yang diterima daripada pihak kafe, Rita mengakui tidak kisah berhabis menyediakan makanan berkhasiat buat Rayyan demi memastikan anaknya mendapat nutrisi mencukupi sepanjang tempoh menghadapi peperiksaan penting itu.
Katanya, dia turut mengambil inisiatif mencari pelbagai menu makanan sihat menerusi media sosial sebelum berkongsi cadangan berkenaan dengan pihak kafe yang menyediakan makanan untuk anaknya.
“Bila buka TikTok, nampak makanan berkhasiat yang lalu di FYP (For You Page), saya akan simpan siap-siap sebelum kongsikan dengan pihak kafe.
“Saya akan bertanya pihak kafe sama ada boleh sediakan atau tidak. Jika mereka bersetuju, saya minta sediakan makanan untuk Rayyan dari pagi, tengah hari hingga malam.
“Kadang-kadang terkejut tengok bil, rupanya dia ada belanja kawan-kawan. Tapi tak apalah, saya tak kisah berhabis untuk anak, asalkan benda itu bermanfaat untuknya,” katanya.
Dalam pada itu, Rita mengakui turut berdebar menantikan peperiksaan besar yang bakal ditempuhi anaknya, meskipun Rayyan merupakan pelajar cemerlang di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sungai Besar.
Katanya, pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan anaknya mendapat persediaan terbaik, termasuk mencarikan kelas tambahan serta berkongsi maklumat berkaitan pembelajaran yang ditemuinya di media sosial.
“Sekarang ini setiap inci saya buat untuk Rayyan. Bukan kata anak kita tak boleh buat, cuma saya yang terlebih risau.
“Saya carikan kelas tambahan atau apa-apa maklumat yang saya jumpa di media sosial, saya akan kongsikan dengan Rayyan.
“Saya rasa anak mungkin bosan, apatah lagi apabila mummynya asyik menghantar pelbagai perkara. Tapi demi kebaikan dia, saya tetap kongsikan,” katanya.
Bagaimanapun, Rita menegaskan dia tidak meletakkan keputusan peperiksaan sebagai ukuran mutlak kejayaan anaknya, sebaliknya mahu Rayyan belajar menerima sebarang kemungkinan dengan hati terbuka.
Malah, dia sentiasa mengingatkan anaknya supaya tidak mudah berputus asa sekiranya berdepan kegagalan kerana setiap cabaran dalam kehidupan boleh menjadi ruang untuk bangkit lebih kuat.
“Saya pernah cakap pada dia, apa pun yang dia lakukan dalam hidup, jika gagal jangan terus putus asa.
“Tengok apa yang saya lalui. Walaupun pernah gagal dalam hidup dan perkahwinan, saya tetap bangkit sehingga dia boleh pergi ke sekolah yang bagus, menjadi pelajar terbaik dan pandai.
“Itu cara saya bangkit melalui anak-anak, jadi saya pun nak mereka bangkit dan tidak lekas putus asa seperti saya,” katanya.
Untuk rekod, Rita turut tercalon dalam kategori Aktres Pembantu TV Popular pada ABPBH 38.
Sumber – Berita Harian





