Tuesday, November 10, 2026
HomeBERITAEl Nino Dijangka Burukkan Wabak Penyakit, Risiko Haba Sehingga 2027

El Nino Dijangka Burukkan Wabak Penyakit, Risiko Haba Sehingga 2027

ANTALYA (TURKIYE) – Fenomena El Niño boleh memburukkan lagi penyakit berkaitan haba, penularan wabak dan pencemaran udara sehingga 2027, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), Celeste Saulo.

Menurut laporan Anadolu Ajansi, Saulo berkata, suhu melebihi purata berupaya mencetuskan ancaman kesihatan yang melangkaui pendedahan langsung kepada cuaca panas melampau.

“Kami juga sedang membicarakan mengenai penularan wabak denggi, wabak malaria. Risiko berbeza-beza bergantung kepada corak taburan hujan mengikut rantau.

“Sekiranya kami menjangkakan musim panas dan kering, kebakaran hutan akan berlaku. Apabila kebakaran hutan berlaku, kualiti udara pula akan merosot,” katanya pada taklimat media COP31 di Antalya, hari ini.

Saulo berkata WMO sedang bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian maklumat berhubung risiko kesihatan berkaitan cuaca.

“Kami bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi menterjemahkan mesej mengenai corak cuaca kepada impak kesihatan,” katanya.

Menurut laporan Kemas Kini Status Iklim 2026 oleh WMO, El Nino dijangka menjadi yang paling kuat pernah direkodkan menjelang Disember dan berlarutan sehingga awal 2027.

Laporan itu menyatakan purata suhu global mencecah kira-kira 1.47 darjah Celsius melebihi tahap praindustri antara Januari dan September.

Kebiasaannya, El Nino memberi impak terbesar terhadap suhu global pada tahun berikutnya selepas pembentukannya, menurut laporan itu lagi.

“Kita sedang memacu cuaca ke tahap melampau dan El Nino akan bertindak sebagai pengganda risiko,” kata Saulo dalam satu kenyataan yang mengiringi laporan itu.

“Gelombang haba, siklon tropika serta hujan ribut semakin memuncak lebih pantas berbanding sejarah garis dasar yang disediakan untuk kita,” katanya memberi amaran. –

Sumber – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Naik Bintik Merah Ketika Maghrib, Sampai Hospital Terus Hilang’

0
KOTA DAMANSARA – “Setiap kali saya mahu mengeluarkan produk atau melancarkan sesuatu yang besar, pasti ada perkara pelik berlaku.” Demikian luahan usahawan sensasi, Datuk Seri...

CATEGORIES