Thursday, November 5, 2026
HomeHIBURAN‘Mereka Tak Tahu Hal Terdahulu, Jangan Salahkan Gen Z’

‘Mereka Tak Tahu Hal Terdahulu, Jangan Salahkan Gen Z’

KUALA LUMPUR – Menyandang tanggungjawab sebagai pendidik dalam bidang perfileman, aktres Vanidah Imran meluahkan rasa simpati terhadap cabaran besar yang dihadapi generasi muda kini (Gen Z).

Menurut Vanidah, 53, kehidupan serba moden yang bergerak terlalu pantas hari ini menuntut kesabaran lebih tinggi dalam mendidik golongan muda yang kurang ilmu pengetahuan, termasuk mengenai tokoh-tokoh seni terdahulu.

“Apabila mengajar generasi sekarang, kita perlu faham mereka tetapi dalam masa sama rasa kasihan kerana mereka tercampak dalam sebuah dunia yang serba pantas.

“Dahulu kita dipaksa untuk tahu pelbagai perkara. Gen Z pula sebaliknya, mereka sebenarnya tidak tahu banyak perkara kerana persekitaran dan keluarga. Jika pihak universiti tidak memberi ilmu tambahan, mereka hanya akan bergantung kepada apa yang diajar dan dengan media sosial semata-mata.

“Kecuali jika mereka seorang pembaca tegar, gemar menonton filem dan mempunyai inisiatif mencari ilmu sendiri. Google digunakan untuk mencari maklumat dan membaca artikel — jika tidak, mereka hanya sekadar mengikut apa sahaja yang disuapkan,” katanya.

Menyedari hakikat itu, dia menegaskan orang ramai tidak wajar meletakkan kesalahan sepenuhnya di bahu generasi muda sekiranya mereka cetek pengetahuan mengenai karyawan serta karya seni terdahulu.

“Kita tidak boleh menyalahkan mereka jika mereka tidak tahu banyak perkara, apatah lagi hal-hal terdahulu.

“Apabila saya mengajar filem, saya tanya sama ada mereka kenal Tan Sri P. Ramlee? Ada yang tahu dan tidak. U-Wei dan Shuhaimi Baba tahu? Mereka cuma tahu perkara yang terkini sahaja.

“Oleh itu, kita sendiri perlu membantu dan memberi bimbingan kepada mereka serta banyak bersabar dengan Gen Z. Kita tidak boleh meletakkan jangkaan bahawa mereka sudah sedia tahu,” katanya lagi.

Bagaimanapun, dia mengingatkan bahawa usaha gigih para pendidik perlu disambut dengan kesungguhan pelajar itu sendiri.

“Tetapi sekiranya kita sudah bersabar dan memberi ilmu, namun mereka sendiri enggan berusaha, itu memang patut diambil tindakan tegas.

“Saya memang kasihan kerana mereka kurang terdedah melainkan keluarga sendiri yang memberi pendedahan awal.

“Mereka kini berada dalam dunia yang bergerak terlalu pantas dan ada kalanya mudah terpedaya dengan media sosial, malah mempercayai sesuatu perkara secara membuta tuli tanpa usul periksa,” ujarnya.

Terbaharu, Vanidah bakal muncul dalam drama terbitan iQIYI, Dua Nyawa yang akan bersiaran bermula 13 November depan.

Naskhah tersebut turut menggandingkannya dengan Puteri Balqis, Jazmy Juma, Kodi Rasheed dan Atilia Haron.

Sumber – KOSMO! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Diskaun Tol 50 Peratus Selama Dua Hari Sempena Deepavali

0
PETALING JAYA – Kerajaan mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari bermula esok sempena sambutan Deepavali 2026. Diskaun itu berkuat kuasa mulai...

CATEGORIES