BUTTERWORTH – Seorang pengasuh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan seorang bayi lelaki berusia 10 bulan sehingga menyebabkan kematiannya minggu lalu.
Tertuduh, Nurfitrah Mohd Raziff, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang diamanahkan menjaga bayi berkenaan didakwa mengabaikannya sehingga menyebabkan kematian mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Sungai Dua, di sini, antara jam 5.40 pagi hingga 10.15 pagi pada 19 Oktober lalu.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadhirah Abdul Rahi, manakala tertuduh diwakili peguam Y Yogeswaran.
Ketika prosiding, Nadhirah membantah permohonan jaminan, namun mencadangkan syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasportnya dan melaporkan diri di balai polis sekali sebulan sekiranya jaminan dibenarkan.
Yogeswaran memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan anak guamnya berusia 25 tahun, berpendapatan antara RM1,800 hingga RM2,000 sebulan dan bertanggungjawab menguruskan keluarganya, termasuk menyara tiga anaknya.
“Anak guam saya juga memberikan kerjasama kepada polis sepanjang siasatan dan kami tidak membantah syarat tambahan yang dicadangkan.
“Ibu tertuduh juga hadir di mahkamah hari ini,” katanya.
Roslan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
“Tertuduh mesti menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sekiranya dia memilikinya,” katanya.
Mahkamah menetapkan 27 November ini untuk sebutan semula bagi penyerahan dokumen.
Pada 20 Oktober lalu, media melaporkan seorang pengasuh berusia 25 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kematian bayi lelaki berusia 10 bulan yang ditemukan dalam keadaan lemah di rumahnya sehari sebelum itu.
Ibu bayi berkenaan menghantar anaknya ke rumah pengasuh kira-kira jam 5.40 pagi ketika mangsa berada dalam keadaan sihat.
Pengasuh itu kemudian meminta bantuan suaminya untuk melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebelum bayi berkenaan dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Dua untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Bagaimanapun, bayi itu meninggal dunia sebelum tiba di klinik berkenaan.
Laporan bedah siasat kemudian mendapati bayi itu meninggal dunia akibat kecederaan di kepala yang konsisten dengan trauma akibat hentakan objek tumpul.
Sumber – Berita Harian





