KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Hyperact, Firman Bansir, memaklumkan anggota kumpulan itu memberi lampu hijau kepadanya untuk menyertai Gegar Vaganza musim ke-13 yang bermula 8 November ini.
Kata penyanyi berusia 37 itu, tidak timbul sebarang konflik malah keputusannya itu menyertai program berkenaan mendapat sokongan penuh kesemua anggota kumpulan berkenaan.
“Mereka sangat okey, sangat menyokong keputusan saya untuk menyertai GV13. Masing-masing juga sudah matang berfikir.
“Kami tahu GV ini pertandingan berprestij yang dinantikan ramai orang setiap tahun. Jadi mereka sangat menyokong keputusan saya.
“Saya buat ini juga untuk band Hyperact juga,” katanya pada sidang media GV13 yang diadakan baru-baru ini.
Bagaimanapun, seluruh anggota kumpulan itu telah sepakat untuk menggunakan khidmat penyanyi ganti sementara ketiadaan Firman yang terpaksa memberi tumpuan kepada GV13 nanti.
“Kita kena berbincang sebabnya kita tahun setiap hujung minggu Hyperact kerap terima membuat persembahan.
“GV pula perlukan komitmen penuh, Isnin sampai Ahad. Jadi kami putuskan untuk cari penyanyi ganti untuk Hyperact sementara ketiadaan saya.
“Saya okey dengan keputusan ini kerana saya sendiri yang mencadangkan penyanyi ganti. Takkanlah aktiviti band tergendala kerana saya masuk GV,” katanya lagi.
Sumber – UTUSAN





