PETALING JAYA – Sesal tiada guna, anak kepada usahawan sensasi, Datuk Seri Vida (DSV) iaitu Cik B menasihatkan orang ramai agar tidak mensia-siakan peluang menghubungi ibu bapa, meskipun hubungan keluarga pernah dilanda keretakan sebelum terlambat.
Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 21, mengakui menyimpan penyesalan mendalam apabila tidak berpeluang meluangkan lebih banyak masa bersama bapanya, Allahyarham Mohd. Amin, sebelum lelaki itu meninggal dunia.
“Walaupun ayah atau mak tidak hadir dalam kehidupan kita, cubalah telefon mereka. Jangan tunggu sehingga mereka sudah tiada, baru kita hendak mencari. Itulah penyesalan saya sekarang.
“Saya menyesal kerana hanya dapat berjumpa dengan ayah selepas sekian lama tidak bertemu. Sebelum ini, kami tidak berjumpa dan kali terakhir saya bertemu dengannya adalah ketika masih kecil.
“Dia tetap ayah saya dan penyesalan ini tiada penghujungnya,” katanya dalam TikTok.
Tambah pelantun lagu Tolonglah itu, hubungan antara ibu bapa dan anak tidak seharusnya dibiarkan renggang tanpa sebarang usaha untuk memperbaikinya.
“Walaupun hubungan kita dengan ibu atau ayah tidak begitu baik, cubalah cari jalan untuk berdamai dan menyelesaikannya. Kita tidak tahu apa yang mereka rasakan, malah mungkin mereka sudah berubah.
“Jadi, kepada sesiapa yang masih mempunyai ibu bapa walaupun mereka sudah bercerai, hubungilah kedua-duanya. Bagaimanapun keadaan keluarga kita, mereka tetap ibu dan ayah,” ujarnya.
Bagaimanapun, perkongsian Cik B itu mengundang pelbagai reaksi netizen apabila segelintir pengguna media sosial dilihat mempersoalkan mengapa hubungan bersama bapanya tidak diperbaiki lebih awal.
“Kalau sudah menyesal, apa gunanya? Ketika ayah masih ada, kenapa tidak luangkan masa bersamanya? Sekarang, menangis pun tidak mengubah apa-apa.
“DSV juga patut memainkan peranan. Walau seburuk mana pun hubungan kita dengan ayah, jangan abaikan dia. Ayah tetap ayah,” antara komen netizen.
Bagaimanapun, terdapat juga netizen meminta orang ramai supaya tidak terburu-buru menghukum Cik B kerana hanya individu pernah melalui situasi keluarga sedemikian benar-benar memahami kesakitan emosi akibat hubungan kekeluargaan yang renggang.
“Orang yang pernah melalui keluarga berpecah sahaja memahami perasaan itu. Kita tidak tahu apa sebenarnya berlaku. Peritnya rasa diabaikan sejak kecil, hanya Tuhan tahu,” kata netizen.
Untuk rekod, bapa Cik B, Allahyarham Mohd. Amin, menghembuskan nafas terakhir pada Sabtu minggu lalu di Kelantan.
Sumber – Kosmo Online





