Thursday, October 22, 2026
HomeBERITAPERNAS Bantu Pelajar SPM Menerusi Program Jejak Cemerlang

PERNAS Bantu Pelajar SPM Menerusi Program Jejak Cemerlang

KUALA LUMPUR – Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) meneruskan komitmennya dalam memperkasa bidang pendidikan dengan membantu 180 pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai membuat persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi program Jejak Cemerlang.

Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dilaksanakan sejak 2015 selepas sekolah berkenaan menjadi sekolah angkat PERNAS pada 2012.

Sejak diperkenalkan, inisiatif itu menjadi sebahagian daripada usaha berterusan PERNAS dalam menyokong perkembangan akademik pelajar serta menyediakan peluang pembelajaran tambahan bagi membantu mereka mencapai keputusan peperiksaan yang lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutif PERNAS, Datuk Nor Azam M Taib, berkata menerusi program itu, pelajar mengikuti sesi bimbingan berfokus dan ulang kaji intensif bagi mata pelajaran utama, termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik, serta mata pelajaran SPM yang berkaitan.

Katanya, inisiatif itu turut memberi perhatian kepada pelajar daripada keluarga asnaf dan golongan kurang berkemampuan dengan menyediakan sokongan pembelajaran tambahan serta peluang yang lebih baik untuk membuat persediaan menghadapi peperiksaan.

Malah, beliau berkata, usaha berterusan dalam menyokong kecemerlangan akademik pelajar itu turut menyaksikan peningkatan yang memberangsangkan dalam prestasi akademik sekolah berkenaan.

“Peratusan calon SMK Seri Pantai yang layak menerima sijil SPM meningkat daripada 88.02 peratus pada tahun 2024 kepada 92.67 peratus pada tahun 2025 iaitu peningkatan sebanyak 4.65 peratus.

“Pada masa yang sama, Gred Purata Sekolah (GPS) turut bertambah baik daripada 5.63 pada tahun 2024 kepada 5.48 pada tahun 2025.

“Pencapaian ini amat menggalakkan dan membuktikan betapa pentingnya bimbingan, sumber serta sokongan yang bersesuaian dalam membantu pelajar sepanjang perjalanan pembelajaran mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nor Azam berkata, menerusi Program CSR Jejak Cemerlang, PERNAS berharap dapat membantu pelajar membuat persediaan menghadapi peperiksaan SPM secara lebih terancang dan berkesan, di samping membina keyakinan diri untuk mencapai prestasi terbaik.

Ini kerana, katanya, program itu memberi peluang pelajar untuk mendapatkan bimbingan daripada tenaga pengajar yang berpengalaman dan berkelayakan, termasuk pakar mata pelajaran serta penggubal soalan peperiksaan.

Sesi pembelajaran turut merangkumi teknik menjawab soalan dengan berkesan, kaedah pembelajaran dan strategi menghadapi peperiksaan bagi memperkukuh pemahaman serta meningkatkan keyakinan pelajar menjelang peperiksaan SPM.

“Sebagai sebahagian daripada sokongan terhadap persediaan peperiksaan pelajar, Pernas turut menyumbangkan kit alat tulis bagi membantu memenuhi keperluan asas mereka menjelang peperiksaan SPM.

“Sumbangan CSR ini diharap dapat memberikan manfaat praktikal serta menjadi suntikan semangat kepada pelajar dalam menghadapi salah satu fasa penting dalam perjalanan akademik mereka,” katanya.

Justeru, beliau berkata, PERNAS kekal komited dalam melaksanakan inisiatif CSR yang memberikan manfaat bermakna dan berterusan kepada masyarakat, khususnya dalam bidang pendidikan dan pembangunan komuniti.

“Menerusi inisiatif seperti Program CSR Jejak Cemerlang, PERNAS berhasrat untuk menyumbang kepada pembangunan modal insan serta menyokong usaha menyediakan peluang yang lebih baik kepada pelajar untuk merealisasikan aspirasi akademik mereka,” katanya.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Noh Salleh Idam Duet Dengan Siti Nurhaliza Sekali Lagi, “Kalau Beliau...

0
PETALING JAYA – Penyanyi dan komposer Noh Salleh menyimpan hasrat mengundang Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk berduet dalam konsert Cadenza of the...

CATEGORIES