SEREMBAN – Seorang wanita yang hamil lapan bulan mengukir senyuman lebar apabila hajatnya untuk menaiki kereta peronda polis akhirnya menjadi kenyataan.
Nurul Asyira Zakaria, 23, yang mengidam peluang menaiki kereta peronda polis sejak usia kandungannya empat bulan, tercapai apabila dibenarkan menaiki kenderaan itu di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban, di sini pada 16 Oktober lalu
Suaminya, Huzairi Mohd Tozamri, 31, berkata pada mulanya, dia buntu memikirkan cara memenuhi keinginan isterinya kerana segan menyuarakan hasrat berkenaan.
“Ia bukan perkara biasa yang wanita hamil mahukan. Bagaimanapun, mengenangkan isteri dijangka bersalin dalam masa terdekat, saya akhirnya memberanikan diri pergi IPD Seremban pada 16 Oktober lalu.
“Dalam keadaan berdebar-debar, saya menyatakan hasrat isteri kepada anggota polis yang bertugas di pondok pengawal IPD Seremban.
“Alhamdulillah, anggota di situ semuanya baik-baik malah membenarkan kami masuk. Kebetulan, ada anggota yang sedang berada dalam kereta peronda dan sudi membantu merealisasikan keinginan isteri,” katanya.
Huzairi berkata, isterinya teruja apabila diberikan peluang menaiki kereta peronda polis mengelilingi kawasan IPD Seremban malah tidak melepaskan peluang merakam gambar dan video.
“Isteri cukup seronok malah tidak mahu keluar daripada kereta peronda berkenaan. Sepanjang masa dia asyik bercerita mengenai pengalaman itu dan ia berterusan sehingga kami pulang ke rumah.
“Dia cukup seronok hingga mahu menangis kerana terlalu gembira. Saya bersyukur apabila impian isteri tercapai,” katanya dihubungi.
Huzairi turut merakamkan penghargaan kepada warga IPD Seremban yang sanggup meluangkan masa dan menunjukkan sikap prihatin bagi menggembirakan isterinya.
Ujarnya lagi, layanan mesra yang diberikan anggota IPD Seremban bukan sahaja berjaya merealisasikan keinginan isterinya, malah menjadi kenangan istimewa yang akan diingati mereka sampai bila-bila.
Sumber – Berita Harian





