PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah, Liyana Jasmay tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh penonton filem sulung arahannya, Pemuja Syaitan, susulan rungutan mengenai kualiti visual yang dikatakan terlalu gelap pada hari pertama tayangan.
Liyana bagaimanapun menjelaskan isu teknikal itu berlaku berpunca daripada kekhilafannya sendiri yang terlalu yakin dengan hasil akhir naskhah tersebut.
“Memang dalam setiap kejadian ada dugaan. Ini adalah filem pertama saya dan banyak perkara yang saya pelajari. Saya akui ada isu teknikal dan ia adalah salah saya sendiri kerana terlalu yakin visual tersebut sudah sempurna.
“Saya memohon maaf kepada semua yang sudah menonton tadi (semalam). Mungkin anda akan rasa pelik dan tertanya-tanya mengapa ada bahagian yang tidak nampak jelas,” katanya menerusi satu hantaran video yang tular pada Jumaat.
Menurut Liyana, dia berasa sangat ralat apabila menyedari peminat yang telah membeli tiket terpaksa menonton versi yang belum disempurnakan sepenuhnya pada hari pertama tayangan filem itu, semalam.
Bagaimanapun, pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22 itu menjelaskan bahawa dia dan pasukannya telah bertungkus-lumus membetulkan isu visual demi kepuasan penonton.
“Saya sangat serba salah dan sedih apabila memikirkan ada penonton yang membeli tiket tetapi tidak dapat melihat hasil akhir yang sepatutnya. Kesalahan hari ini memang sangat besar buat saya.
“Namun, saya sudah cuba membetulkannya hari ini juga. Kepada penonton yang akan hadir ke pawagam esok (Sabtu) dan hari-hari seterusnya, saya memberi jaminan bahawa visual terbaik sudah tersedia untuk anda tonton
“Segalanya sudah dibetulkan. Isu teknikal itu sudah tiada dan kualitinya kini sangat bagus. Saya harap anda jangan rasa tertipu dan teruslah menyokong naskhah ini sehingga ke hari terakhir tayangan. Terima kasih banyak-banyak,” katanya.
Filem Pemuja Syaitan mengisahkan insiden membabitkan sekumpulan bekas rakan sekelas berkumpul semula di sebuah pulau terpencil selepas tamat persekolahan. Turut sama menjayakan filem itu ialah Zul Ariffin, Alia Azizul, Elizabeth Tan, Nadhir Nasar, Ellyza Azizi.
Sumber – Utusan





