PROGRAM realiti Kilauan Emas Selebriti 2026 (KES2026) akhirnya melabuhkan tirai selepas tujuh minggu pertarungan dengan Datuk Jalaluddin Hassan diangkat sebagai juara.
Kemenangan tersebut sekali gus melayakkannya membawa pulang sebuah trofi sumbangan Astro, single daripada Rocketfuel Entertainment, emas edisi khas tajaan Jus Arabic Gold dan hamper tajaan Jus Arabic Gold bernilai RM800.
Malah, dia juga bakal menerima tajaan pakej penginapan tiga hari dua malam di Grand Mercure Kuala Lumpur Bukit Bintang.
Jalaluddin, 72, menganggap kemenangan yang diraih bagaikan mimpi menjadi kenyataan memandangkan cita-cita asalnya sejak kecil adalah bergelar seorang penyanyi.
“Saya tak sangka, macam mimpi. Bayangkan, saya tak pernah termimpi langsung terlibat benda-benda macam ini dan bergelar juara pada usia 72 tahun.
“Itulah yang Allah tentukan pada saya sebab saya memang berangan-angan nak jadi penyanyi sebenarnya masa kecil. Tapi tiba-tiba beralih jadi pelakon.
“Saya selalu bayang nak buat persembahan depan semua orang tapi tak pernah berpeluang,” katanya usai sidang media KES2026.
Mengulas mengenai kemenangannya, dia mengakui berdepan cabaran tersendiri ketika beraksi di atas pentas besar lebih-lebih lagi apabila Zila Bakarin mendahului jumlah undian setiap minggu.
“Rupa-rupanya bila menyanyi atas pentas yang besar, dia jadi lain. Secara psikologi saya jadi ‘blank’ padahal saya dah biasa menyanyi.
“Bila saya menyanyi di minggu pertama sampai ketiga, Zila Bakarin menguasai semua sebab dia ada peminat.
“Bila minggu keempat saya tak ada fikir apa pun bagaimana nak mengatasi dia, saya cuma buat hal saya dan tunjukkan persembahan sendiri.
“Kelebihan saya mungkin gaya walaupun dalam bidang lakonan pun kita dah tak pandai berlakon atau suara pun tidak keluar, tapi gaya itu orang suka,” katanya lagi.
Berkongsi petua penjagaan diri dalam melakukan persembahan walaupun berusia 72 tahun, bintang filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu mementingkan aspek rohani selain menjaga pemakanan.
“Bila dah berumur ini secara automatiknya kita kurang makan. Suplemen pula tiada.
“Paling penting yakin dengan Allah. Semuanya datang daripada-Nya jadi kita berserah kepada Dia.
“Insya-Allah, jangan lupa zikir kerana sangat membantu bukan saja menenangkan tubuh badan tapi menyihatkan akal kita,” ujarnya.
PENGURUS Saluran Astro Ria, Idlan Zahari tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan KES sekiranya mendapat lampu hijau.
Isu wang tunai
Usai program tersebut, ramai mempertikai isu ketiadaan hadiah berbentuk wang tunai buat peserta yang sudah berhempas pulas bertanding.
Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari menjelaskan bahawa format tersebut memang ditetapkan atas tujuan tertentu bagi mengurangkan tekanan pertandingan.
“Asalnya Kilauan Emas Selebriti ini memang diciptakan untuk satu musim khas, iaitu kita mahu meletak semua selebriti yang bukan penyanyi bertanding.
“Tapi kami juga mahu menjadikan satu format yang orang kata kurang kompetitif dan lebih kepada menghiburkan kerana tujuan itulah kami buang elemen wang tunai untuk hadiah pemenang, namun kita terapkan amal jariah.
“Rasanya kalau ada wang tunai takut nanti semangat persaingan itu mungkin akan muncul secara tidak langsung. Jadi, kami tidak mahu tekanan itu, kami mahu lebih menghiburkan,” katanya.
Ditanya sekiranya program tersebut bakal diteruskan pada masa akan datang, Idlan tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan KES pada sekiranya mendapat lampu hijau.
Asalnya ini edisi khas tapi kami mendapat sambutan yang luar biasa dan ada juga ramai selebriti lain yang dah menyampaikan hasrat untuk masuk.
“Insya-Allah kalau ada rezeki an diberi peluang untuk buat lagi sekali, akan ada (musim seterusnya).
“Tapi kami juga mengharapkan ramai lagi selebriti yang bukan penyanyi sanggup sahut cabaran,” tutupnya.
Sumber – HIBGLAM





