Thursday, October 8, 2026
HomeHIBURANSarimah Ibrahim Sambung Pengajian Di Harvard Medical School

Sarimah Ibrahim Sambung Pengajian Di Harvard Medical School

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Che Puan Sarimah Ibrahim bakal mengikuti pengajian di Harvard Medical School bermula minggu depan.

Sarimah, 48, akan mengikuti Program Kesihatan dan Kesejahteraan Wanita (Women’s Health and Wellness Program) di institusi perubatan terkemuka dunia itu sebagai inisiatif memperkukuh ilmu pengetahuannya dalam memperjuangkan isu kesihatan mental.

“Saya teruja untuk melangkah ke fasa perkembangan profesional yang seterusnya. Saya sentiasa percaya bahawa proses pembelajaran tidak pernah mempunyai titik noktah.

“Malah, dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, saya juga sedang mendalami seni lakonan bersama jurulatih dari Ireland, Gerry Grennel yang merupakan guru kepada bintang antarabangsa seperti Heath Ledger, Marlon Brando dan Meryl Streep.

“Pada masa sama, saya mahu menambah kepakaran dalam topik kesihatan wanita supaya input yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam kerja amal serta advokasi, khususnya berkaitan kesihatan mental,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Sarimah yang juga ikon pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan mental belia, Empati, menegaskan misinya adalah untuk menjadi individu yang dilengkapi ilmu global untuk membantu masyarakat.

“Bagi saya, kita boleh menimba ilmu daripada institusi terbaik di dunia, namun perkara paling penting adalah membawa pulang ilmu tersebut untuk diterjemahkan mengikut acuan dan keperluan masyarakat kita,” jelasnya.

Dalam pada itu, pelakon filem Bila Cinta Menjadi Dosa ini memaklumkan pengajian tersebut akan dijalankan secara dalam talian, sekali gus membolehkannya membahagikan masa dengan kerjaya seni.

“Sesi pembelajaran secara maya membolehkan saya kekal fokus di set penggambaran. Sambil belajar di Harvard, saya masih boleh terus berlakon.

“Matlamat saya adalah untuk terus berkembang dan menggunakan setiap ilmu yang dipelajari demi memberi manfaat kepada orang ramai.

“Saya baru selesai penggambaran Sampai Bila-Bila, di mana saya memegang watak utama seorang wanita pada usia 43 dan 55 tahun.

“Dia seorang ibu dan isteri yang pernah melalui masalah kesihatan mental, melakukan sesuatu yang buruk ketika dirinya sangat tidak stabil dan kemudian hidup dengan akibatnya,” katanya lagi.

Untuk rekod, Sarimah merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Psikologi (Kepujian) daripada HELP University, Malaysia.

Sumber – UTUSAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Guru Kontrak Bakal Dapat Tawaran Lantikan

0
KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,150 calon guru yang dilantik secara kontrak (CoS) akan menerima surat tawaran lantikan pada bulan ini bagi menampung kemasukan pelajar...

CATEGORIES