Rasa jantung berdebar-debar dan sesak nafas mungkin dianggap sebagai perkara biasa, namun kedua-dua gejala berkenaan tidak seharusnya dipandang ringan kerana boleh dikaitkan dengan pelbagai keadaan kesihatan.
Menurut Hello Doktor, gejala tersebut bukan sahaja boleh berlaku akibat faktor psikologi dan emosi seperti gangguan kegelisahan atau serangan panik, malah turut dikaitkan dengan beberapa masalah berkaitan jantung.
Antara punca jantung berdebar dan sesak nafas
1. Serangan panik
Serangan panik merupakan keadaan yang berkaitan dengan gangguan kegelisahan dan boleh menyebabkan seseorang berasa takut atau terancam secara tiba-tiba walaupun tiada bahaya yang jelas.
Antara gejala fizikal yang boleh dialami termasuk berpeluh, kesukaran bernafas, jantung berdebar, sakit dada atau perut, pening, menggigil serta rasa kebas atau menyucuk pada tangan.
2. Gangguan kegelisahan
Gangguan kegelisahan boleh menyebabkan seseorang mengalami kebimbangan dan ketakutan yang kuat, berlebihan serta berterusan terhadap situasi harian.
Keadaan ini juga boleh disertai episod serangan panik yang menyebabkan perasaan resah, takut atau rasa terancam secara tiba-tiba.
3. Kegagalan jantung
Kegagalan jantung berlaku apabila jantung tidak mampu memenuhi keperluan badan dengan mengepam darah secukupnya.
Sesak nafas dan keletihan antara gejala yang boleh berlaku, selain pembengkakan pada pergelangan kaki, kaki dan bahagian tengah badan.
Pada peringkat awal, kesukaran bernafas mungkin berlaku selepas melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam atau berjalan jauh. Namun, keadaan itu boleh menjadi lebih teruk sehingga menyebabkan sesak nafas ketika berbaring.
4. Gangguan ritma jantung
Gangguan ritma jantung merujuk kepada keadaan degupan jantung yang tidak normal. Sesetengah gangguan ritma seperti supraventricular tachycardia (SVT) boleh menyebabkan kadar denyutan jantung meningkat secara mendadak.
Keadaan itu berlaku apabila isyarat elektrik pada jantung tidak berfungsi dengan betul dan boleh menyebabkan jantung berdebar serta sesak nafas.
5. Pulmonary edema
Pulmonary edema atau pengumpulan cecair dalam paru-paru boleh menyebabkan seseorang mengalami kesukaran bernafas.
Keadaan ini biasanya berkait dengan masalah jantung, apabila jantung tidak dapat mengepam darah keluar dari paru-paru dengan baik sehingga menyebabkan tekanan meningkat dan cecair memasuki kantung udara paru-paru.
Masalah pernafasan boleh berlaku secara beransur-ansur atau secara tiba-tiba.
6. Kardiomiopati
Kardiomiopati merupakan masalah pada otot jantung yang boleh menyukarkan jantung mengepam dan menghantar darah ke seluruh badan.
Keadaan ini mempunyai pelbagai jenis dan boleh dikaitkan dengan beberapa faktor, termasuk serangan jantung, diabetes, rawatan kanser, tekanan darah tinggi serta pengambilan alkohol secara berlebihan.
Pada peringkat awal, sesetengah individu mungkin tidak mengalami sebarang gejala. Namun, apabila keadaan menjadi lebih serius, jantung berdebar dan sesak nafas boleh berlaku ketika melakukan aktiviti atau ketika berehat.
Jantung berdebar dan sesak nafas boleh berpunca daripada pelbagai keadaan, termasuk faktor psikologi dan masalah berkaitan jantung.
Sekiranya gejala berkenaan berlaku atau semakin teruk, pemeriksaan doktor wajar dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar. Doktor mungkin menjalankan pemeriksaan tertentu termasuk ujian darah atau pemeriksaan lain berdasarkan keadaan pesakit.
Mengenal pasti perubahan pada tubuh dan mendapatkan pemeriksaan lebih awal dapat membantu menentukan punca sebenar gejala berkenaan.
Sumber – Hello Doktor





