KUALA LUMPUR – Pelakon Namron menyambung baik perubahan dalam industri perfileman tempatan yang kini mula memberi perhatian terhadap had waktu bekerja demi menjaga kebajikan pelakon dan kru produksi.Menurutnya, peraturan berkaitan had waktu bekerja bukan perkara baharu di New Zealand apabila tempoh bekerja bagi produksi perfileman di negara itu dihadkan kepada maksimum 12 jam.
“Sana gaya mereka bekerja, okay. Baru-baru ini, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) buat peraturan 14 jam kerja. Jadi kita tidak boleh kerja lebih 14 jam.
“Mereka di sana (New Zealand) sudah lama buat. Tetapi mereka bukan 14 jam, mereka bekerja maksimum 12 jam.
“Kalau ‘call time’ jam 6 pagi, jam 6 petang mesti kena habis. Kadang-kadang jam 5 petang mereka sudah mula kemas barang sebab mereka perlukan satu jam lagi untuk ‘loading’ barang.
“Jadi, dari jam 6 pagi sampai 5 petang sahaja kita boleh ‘shooting’,” katanya ketika ditemui pada malam gala filem Terbang di TGV KLCC di sini, baru-baru ini.
Menurut Namron, perkara lebih menarik perhatian apabila peraturan berkenaan bukan hanya terpakai kepada pihak produksi, sebaliknya penggiat seni juga dilindungi menerusi ketetapan Jabatan Buruh negara berkenaan.
“Mereka memang tidak boleh bekerja lebih daripada 12 jam kerana Jabatan Buruh di sana tetapkan begitu.
“Kalau mereka buat kerja lebih daripada 12 jam, mereka sendiri boleh dikenakan tindakan, bukan produksi sahaja,” katanya.
Justeru, Namron berharap budaya kerja sedemikian dapat diterapkan secara lebih menyeluruh dalam industri perfileman tempatan, terutama apabila Malaysia kini mula memberi perhatian kepada tempoh bekerja di set penggambaran.
Tambahnya, pelaksanaan had waktu bekerja bukan sekadar berkaitan tempoh penggambaran, tetapi turut membabitkan soal kebajikan, keselamatan dan kesihatan pelakon serta kru yang bekerja dalam tempoh panjang.
“Pengalaman itu membuatkan kita terfikir, patutnya kita di Malaysia pun kena amalkan perkara macam itu juga.
“Harap-harap pelaksanaan bekerja dalam tempoh 14 jam ini mereka akan ikutlah,” katanya.
Filem Terbang yang mula ditayangkan di pawagam pada 17 September lalu menjalani penggambaran di beberapa lokasi termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Perlis dan New Zealand.
Namron mengakui teruja apabila diberi peluang membintangi Terbang, selain berpeluang bekerja di bawah arahan sutradara berpengalaman, Chiu Keng Guan.
Keng Guan sebelum ini mengarahkan filem seperti The Journey dan Ola Bola, yang turut mendapat perhatian menerusi pendekatan penceritaan berkaitan keluarga, perpaduan dan semangat kebangsaan.
“Saya kenal dia daripada tengok filem The Journey, kemudian tengok Ola Bola. Bila tengok dua filem ini pun sudah tahu dia memang pengarah yang bagus.
“Dia bukan jenis pengarah yang buat filem jadi macam kilang. Setahun sampai dua, tiga filem atau setahun satu filem. Ini pun selepas 10 tahun baru dia buat balik filem ini.
“Tetapi saya tahu dia ada banyak mengarah di China dan banyak mengarah filem di sana,” katanya.
Disebabkan itu, Namron berkata, dia tidak mengambil masa lama untuk menerima tawaran berlakon dalam Terbang apabila dihubungi pihak produksi.
“Jadi, sudah tentu saya hendak bekerja dengan dia dan apabila produksi hubungi saya, saya masih ingat lagi saya tidak tanya pasal bajet atau apa.
“Saya minta mereka letak sahaja, saya terus terima. Tidak ada kita nak tawar-menawar. Berapa mereka tawar, saya ambil saja.
“Tetapi tawaran mereka tidaklah teruk, okay saja, memang ikut piawaian kita,” katanya.
Mengulas mengenai filem Terbang, Namron berkata, Terbang bukan sekadar mengetengahkan kisah sukan permotoran, sebaliknya membawa mesej mengenai semangat patriotisme menerusi perjalanan pasukan rali Malaysia yang diketuai legenda negara, Karamjit Singh.
Menurutnya, konsep patriotisme tidak seharusnya hanya dikaitkan dengan tokoh politik atau pejuang kemerdekaan kerana atlet dan penggiat seni juga memainkan peranan dalam mengharumkan nama negara.
“Filem patriotik tidak semestinya kita nak angkat tokoh politik dan tokoh pejuang.
“Kita tahu dan tidak nafikan, itu memang patriotik, berjuang untuk kemerdekaan negara, berjuang untuk pembangunan negara.
“Tetapi kita lupa bahawa insan-insan seperti ahli sukan, sama juga seperti artis. Artis ini termasuklah pelukis atau anak seni yang menaikkan nama Malaysia,” katanya.
Namron turut berharap filem seperti Terbang dapat menyemarakkan kembali semangat rakyat untuk mengangkat nama Malaysia, terutama dalam kalangan generasi muda.
Tambahnya, semangat untuk membawa nama negara ke peringkat antarabangsa pernah dirasai dengan lebih kuat ketika beliau aktif dalam bidang teater.
“Melihat sekarang semangat patriotik agak kurang, saya rasa tidak sama macam dahulu. Ketika itu, semangat nak membanggakan negara itu sangat tinggi.
“Pada waktu itu, kita semua berlumba-lumba hendak naikkan nama negara. Kita nak menyumbang, nak buat sesuatu untuk Malaysia.
“Ketika itu, saya main teater. Buat teater pun memang nak pergi ke Jepun, hendak buat bengkel di Jepun dan sebagainya sebab kita nak wakili Malaysia di luar.
“Harap selepas ini kita boleh naikkan balik semangat ini. Semangat ‘Malaysia Boleh’,” katanya.
Bagi Namron, Karamjit Singh juga antara tokoh sukan yang menjadi inspirasi kerana berjaya membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa.
Malah, katanya, pelumba yang dikenali dengan jolokan ‘Flying Sikh’ itu pernah menjadi antara idolanya, selain legenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.
“Karamjit Singh memang idola saya dahulu. Walaupun saya bukannya pelumba, tetapi dia idola sebagai seorang yang membawa nama negara,” katanya.
Terbang mengisahkan perjalanan pasukan rali Malaysia yang diketuai Karamjit Singh dalam usaha membuktikan kemampuan anak tempatan di arena permotoran antarabangsa.
Filem aksi berkenaan turut mengetengahkan semangat kerjasama, keberanian dan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia, dengan mesej bahawa tiada apa yang mustahil dicapai apabila rakyat bersatu dan bergerak ke arah tujuan sama.
Sumber – Berita Harian





