KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer Indonesia, Fabio Asher berpandangan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan muzik tidak mampu menandingi nilai dan sentuhan manusia dalam menghasilkan sesebuah karya.
Menurut Fabio, meskipun tidak menolak penggunaan teknologi berkenaan sebagai salah satu medium membantu proses penciptaan muzik, karya yang dihasilkan sepenuhnya menggunakan AI dilihat kurang mempunyai emosi dan identiti tersendiri.
“Saya tidak mempunyai masalah dengan mereka yang menggunakan AI, termasuk menghasilkan lirik menerusi ChatGPT sebelum dimasukkan ke Suno atau aplikasi lain yang semakin canggih.
“Namun, pada pandangan saya, karya yang dihasilkan oleh ‘robot’ tetap tidak mempunyai rasa. Hasilnya berbeza apabila sesebuah karya itu mempunyai sentuhan daripada manusia sendiri,” katanya.
Fabio berkata demikian ketika ditemui di sidang media konsert Fabio Asher: The Romanticist Live in Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah Fabio, penggunaan medium tersebut juga tidak mampu memberikan kepelbagaian dari sudut kreativiti dan kualiti dalam menghasilkan sesebuah karya.
“Kalau kita dengar lagu yang dihasilkan menggunakan AI, biasanya kita boleh mengenal pasti. Sama ada daripada suara atau muziknya, ia kedengaran seperti menggunakan templat dan hampir serupa antara satu sama lain.
“Jadi, apabila mendengarnya, kita boleh terfikir, ‘Ini pasti AI’. Bagi saya, karya seperti itu kurang mempunyai rasa,” jelasnya.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Tanpa Rasa Bersalah itu mendedahkan situasi sama turut berlaku di Indonesia apabila terdapat karya yang dihasilkan menggunakan teknologi AI dikeluarkan daripada platform digital tertentu.
“Di Indonesia, keadaannya lebih kurang sama. Pada akhirnya, lagu-lagu yang dihasilkan menggunakan AI boleh ditapis dan dikeluarkan daripada platform tertentu.
“Mungkin masih ada yang muncul di aplikasi seperti TikTok dan sebagainya. Tetapi untuk platform seperti Spotify, saya pernah mendengar bahawa penyedia perkhidmatan digital (DSP) mengambil tindakan mengeluarkan lagu-lagu yang dihasilkan menggunakan AI,” kongsinya.
Pun begitu, Fabio turut berpandangan perkembangan penggunaan AI dalam industri muzik perlu diberi perhatian kerana berpotensi memberikan kesan terhadap penggiat seni, khususnya pemuzik dan pencipta lagu.
“Bagi saya, perkara itu boleh merugikan pemuzik seperti kami. Malah, perkara itu sangat merugikan,” ujarnya.
Sumber – Utusan





