Thursday, September 3, 2026
HomeBERITAHospital MARA Untuk Semua , Perlengkapkan Ekosistem - Asyraf Wajdi

Hospital MARA Untuk Semua , Perlengkapkan Ekosistem – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Cadangan penubuhan Hospital Majlis Amanah Rakyat ( MARA) tidak seharusnya dilihat dari sudut perkauman kerana inisiatif itu bertujuan melengkapkan ekosistem pendidikan, keusahawanan dan kesihatan agensi berkenaan.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menegaskan MARA melahirkan puluhan ribu doktor, jururawat dan pakar dalam pelbagai bidang, selain memiliki ekosistem lengkap pendidikan yang menawarkan program perubatan, kejururawatan, bioperubatan dan teknologi kesihatan.

“MARA ketika ini mempunyai Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Royal College of Medicine Perak (RCMP) di Ipoh yang menawarkan program kedoktoran, namun belum mempunyai hospital sendiri sebagai pusat latihan pelajar.

“Sudah menjadi perkara biasa bagi mana-mana universiti yang menawarkan program kedoktoran untuk mempunyai hospital sebagai tempat latihan doktor. Jadi, ia bukan sesuatu yang luar biasa.

“Hospital ini untuk semua. Kita tidak akan memilih pesakit dan daripada sudut etika profesionalisme doktor, tidak boleh memilih pesakit berdasarkan kaum,” katanya.

Beliau mengulas cadangan penubuhan Hospital MARA selepas ada pihak mengaitkannya dengan sentimen perkauman serta persoalan sejauh mana fasiliti berkenaan akan memberi manfaat secara inklusif.

Ia susulan tindakan sesetengah pihak mengaitkan cadangan pembinaan Hospital MARA dengan isu sentimen perkauman disifatkan sebagai satu corak pemikiran sempit.

Ketua Pengarah MARA, Datuk Seri Zulfikri Osman, dipetik berkata idea penubuhan hospital itu tidak wajar dipertikaikan kerana pada masa ini, banyak hospital swasta milik bukan Bumiputera turut menjadi tumpuan pelbagai kaum termasuk pesakit Bumiputera untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, cadangan pembinaan hospital berkenaan satu keperluan strategik bagi melengkapkan ekosistem perubatan dan pendidikan khususnya bertindak sebagai hospital pengajar.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, cadangan itu masih di peringkat penilaian dan kajian dengan MARA sudah menubuhkan pasukan khas diketuai Timbalan Ketua Pengarah MARA bagi meneliti keseluruhan aspek berkaitan.

Beliau berkata, ekosistem kesihatan MARA turut merangkumi rangkaian UNI Klinik, UNI Farmasi dan UNI Dental yang kini mempunyai kira-kira 160 cawangan dan dijangka meningkat kepada 200 menjelang penghujung tahun ini.

“Ini semua baru untuk menilai dan mengkaji. Belum lagi kita bercakap soal pelaksanaan tetapi orang sudah menimbulkan pelbagai persepsi.

“Saya harap penjelasan ini dapat memberi pencerahan kepada semua bahawa cadangan ini tidak ada kaitan dengan perkauman,” katanya

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

EPL: Arsenal Sekat Pemain Ke Chelsea

0
LONDON – Arsenal tegas menolak permintaan Chelsea untuk mendapatkan khidmat pemain tengahnya, Martin Zubimendi pada hari terakhir sebelum jendela perpindahan musim panas ditutup awal...

CATEGORIES