Thursday, August 27, 2026
HomeHIBURANAyda Jebat Dianugerahkan Pingat Bintang Cemerlang Melaka (B.C.M.)

Ayda Jebat Dianugerahkan Pingat Bintang Cemerlang Melaka (B.C.M.)

PETALING JAYA – Penyanyi dan pelakon Ayda Jebat meluahkan rasa syukur apabila menerima Pingat Bintang Cemerlang Melaka (B.C.M.) pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Hari Jadi Ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam, hari ini.

Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 34, menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai kenangan manis serta tanda penghargaan terhadap perjalanan seninya, lebih-lebih lagi selepas sekian lama mengabdikan diri dalam industri hiburan.

“Alhamdulillah, syukur. Terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Rustam atas penganugerahan istimewa sempena ulang tahun ke-77.

“Terima kasih juga kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, selain tahniah kepada semua penerima anugerah.

“Ini menjadi kenangan manis buat saya. Anugerah diterima pagi ini menjadi kenangan sampai mati, tanda bakti tulus di hati,” katanya dalam Instagram.

Sementara itu, suaminya, Nabil Mahir turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian suri hatinya malah menganggap penganugerahan tersebut sebagai detik cukup istimewa dalam kehidupan mereka sekeluarga.

“Alhamdulillah. Hari ini sangat istimewa buat isteri saya, Ayda Jebat kerana menerima pingat B.C.M. daripada Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd. Ali bin Mohd. Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka, sempena ulang tahun ke-77 Tuan Yang Terutama.

“Lebih bermakna, sejak kecil Ayda sudah menyanyi pada majlis rasmi Tuan Yang Terutama, malah berterusan sehingga beberapa tahun kebelakangan ini. Kami tidak pernah membayangkan suatu hari nanti individu sama akan menyampaikan pingat kepada Ayda.

“Sayang, saya sangat bangga dengan awak. Saya melihat sendiri kerja keras, pengorbanan serta kasih sayang dicurahkan dalam setiap perkara dilakukan. Pengiktirafan ini sememangnya amat layak buat awak,” ujarnya.

Nabil turut menitipkan doa agar pencapaian berkenaan menjadi pembakar semangat buat Ayda untuk terus melakar kejayaan, selain memberi manfaat kepada lebih ramai pihak.

“Tahniah, sayang. Semoga Allah terus melimpahkan rezeki, mempermudahkan setiap langkah perjalanan awak serta mengurniakan lebih banyak kejayaan membawa manfaat.

“Rasa bangga tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Saya sayangkan awak,” luahnya.

Ayda dilahirkan pada 17 Mac 1992 di Ayer Keroh, Melaka sebelum memulakan perjalanan seni menerusi program realiti Akademi Fantasia musim kesembilan.

Terdahulu, penyanyi dan pelakon, Datuk Ziana Zain turut menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM).

Sumber – KOSMO! ONLINE.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Bahan Diri Sendiri, Syukur Orang Terima Lawak Saya’ – Azmi Saat

0
PETALING JAYA – Penyanyi Azmi Saat tidak kisah untuk menggunakan kecacatan dirinya sebagai bahan gurauan dengan orang masyarakat sekeliling. Azmi, 39, yang juga ahli kumpulan...

CATEGORIES