Tuesday, August 25, 2026
HomeBERITAWau Sobek Seni Tradisi Yang Terus Terbang Tinggi

Wau Sobek Seni Tradisi Yang Terus Terbang Tinggi

KOTA BHARU – Bukan sekadar wau biasa, setiap tebukan dan potongan pada kertas menjadi sentuhan seni yang menghidupkan keunikan Wau Sobek hasil tangan Muhd Azeimi Mohd Noor, 47.

Berasal dari Kampung Sering, Kota Bharu, Azeimi menghasilkan Wau Sobek menggunakan teknik menebuk, memotong dan menampal lapisan kertas sehingga membentuk corak yang kelihatan seperti ukiran seni.

Berbeza dengan wau biasa yang lazimnya dihiasi menggunakan lukisan, cat atau tampalan, Wau Sobek menampilkan corak yang terhasil daripada susunan potongan kertas yang teliti dan halus.

Keunikan teknik itu menjadikan setiap Wau Sobek mempunyai corak dan identiti tersendiri, sekali gus memperlihatkan kehalusan seni tradisional yang masih dipelihara hingga kini.

Menariknya, sobek bukanlah nama bagi satu-satu jenis wau. Sebaliknya, ia merujuk kepada teknik menghias wau yang boleh diterapkan pada pelbagai jenis wau termasuk Wau Bulan, Wau Puyuh, Wau Kucing dan Jala Budi.

Teknik itu berkait rapat dengan penghasilan corak pada wau tradisional Kelantan dan memerlukan ketelitian tinggi. Bagi Muhd Azeimi atau lebih dikenali sebagai Mie Wau Sering, seni itu bukan sesuatu yang boleh dilakukan secara tergesa-gesa.

Hampir lima jam sehari diluangkan di bengkelnya hanya untuk proses menyobek wau, malah tempohnya boleh menjadi lebih panjang sekiranya membabitkan wau bersaiz besar.

Katanya, proses menyobek memerlukan ketelitian kerana keindahan wau bukan hanya bergantung kepada motif, sebaliknya turut bermain dengan warna. Semakin banyak warna digunakan, semakin banyak lapisan kertas yang perlu ditebuk dan ditampal.

“Motif ukiran yang digunakan adalah sebarang tumbuhan menjalar dan yang paling terkenal ialah pokok yang tumbuh dalam hutan antaranya seri pagi, kangkung, timun tikus, labu dan letup-letup.

“Ukiran diterapkan dengan gubahan awan larat untuk daun serta naga berjuang bagi batang yang berperanan sebagai motif hiasan yang mengindahkan Wau Sobek, mengisi ruang dan menampilkan unsur seni tradisional Melayu.

“Setiap motif bukan sekadar menjadi hiasan. Di sebalik ukiran itu terdapat unsur mitos serta cerita yang tersirat dan tersurat, termasuk kisah berkaitan kerajaan pada zaman dahulu,” katanya.

Di sebalik corak yang kelihatan halus dan rumit, setiap wau melalui beberapa peringkat sebelum siap sepenuhnya. Proses penghasilannya bermula dengan penyediaan rangka, diikuti pembuatan ukiran yang memerlukan penelitian sebelum kerja menebuk dan menampal dilakukan.

Satu persatu lapisan kertas perlu diurus dengan cermat kerana kesilapan kecil boleh menjejaskan hasil akhir. Justeru, masa yang panjang dihabiskan di meja kerja sebelum wau itu akhirnya bersedia untuk diterbangkan.

Di bengkel kecilnya di Kampung Sering, pelbagai jenis wau turut memenuhi ruang. Bukan sekadar Wau Bulan dan Wau Puyuh, pembuatannya turut merangkumi Wau Kucing serta Jala Budi.

Setiap satu wau itu menjadikan bengkelnya bukan sekadar tempat menghasilkan tempahan, tetapi ruang yang memperlihatkan kepelbagaian seni dan kraftangan wau tradisional.

Katanya, menjelang bulan kebangsaan dan pesta wau, tempahan Wau Sobek turut meningkat. Malah ada kala ia ditempah untuk pertandingan, pameran atau perasmian majlis.

Selain menerima tempahan, Muhd Azeimi turut terbabit dalam pelbagai acara berkaitan wau, termasuk pameran, festival dan jemputan antarabangsa. Pembabitan itu memberinya ruang untuk membawa hasil karya wau tradisional ke khalayak yang lebih luas, termasuk di luar negara, antaranya jemputan ke Perancis sempena Dieppe International Kite Festival.

Katanya, pembuatan wau mungkin dianggap sesetengah orang sebagai kegiatan yang sukar memberikan pulangan. Namun, apabila dilakukan dengan bersungguh-sungguh, seni itu mampu menjadi sumber pendapatan yang lumayan, misalnya untuk wau saiz dua kaki, harganya mencecah RM1,500.

Malah, beliau urut mengambil peluang menyebarkan ilmu yang dimiliki menerusi bengkel pembuatan wau, yang dibuka kepada umum sebagai cara untuk terus menghidupkan seni tradisional melalui helaian kertas yang penuh warna.

Proses sobek cetus minat

Perjalanan Muhd Azeimi Mohd Noor, 47, dalam dunia wau sebenarnya bermula jauh lebih awal, ketika usianya masih kanak-kanak dan ruang di sekelilingnya dipenuhi aktiviti menghasilkan serta bermain wau.

Minat itu tumbuh daripada persekitaran keluarganya sendiri, melihat bapanya mahir menghasilkan wau, khususnya melalui teknik menyobek, sekali gus menjadi antara sebab Muhd Azeimi tertarik untuk mengenali seni itu dengan lebih dekat.

“Persekitaran saya ketika itu hanyalah wau dan melihat bapa menghasilkan wau terutama proses sobek sangat mengagumkan, sekali gus mencetuskan minat yang sama.

“Di usia kanak-kanak lagi saya sudah memasuki pertandingan dan pada 2005 mula mewakili peringkat kebangsaan,” katanya.

Tambahnya sejak itu, pembabitannya dalam dunia wau semakin berkembang, malah kepakaran yang ada kemudian membawanya ke pelbagai festival layang-layang di luar negara termasuk Perancis, Itali, Jerman, Turkiye, India, China, Taiwan dan Thailand.

Pengalaman yang dikumpul sepanjang penglibatannya turut hadir bersama beberapa pengiktirafan. Muhd Azeimi dinobatkan sebagai Tokoh Pelayang Muda 2019 oleh Persatuan Pelayang Negeri Kelantan dan menerima Anugerah Layang Kasa (Pembuat Wau Tersohor) pada Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang 2023.

Katanya, sepanjang terbabit dengan penghasilan wau, antara tugasan yang paling mencabar termasuklah menghasilkan Wau Bulan Sobek bersaiz mega untuk digabungkan dengan pakaian fesyen Ratu Mrs Malaysia 2023, P Vanishantini.

Projek yang mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan menghasilkan Wau Bulan berukuran 3.8 meter tinggi dan 4.8 meter lebar dengan berat kira-kira 10 kilogram sebelum dibawa ke Las Vegas untuk pertandingan.

Saiznya yang besar menyebabkan Muhd Azeimi perlu memikirkan kaedah untuk membawanya ke luar negara tanpa merosakkan hasil sobekan serta struktur wau.

“Dengan saiz dan berat sebegitu, tidak mudah untuk dibawa ke luar negara dan saya terpaksa menggunakan teknik pasang siap namun ia juga satu cabaran kerana perlu pastikan ukiran wau bulan tidak rosak serta buluh-buluh yang digunakan tidak patah,” katanya.

Kostum berkenaan kemudiannya memenangi kategori Most Original Costume 2023, sekali gus menyaksikan P Vanishantini digelar Ratu Wau Bulan.

Bagi Muhd Azeimi, pencapaian itu menjadi sebahagian daripada perjalanan panjang yang bermula daripada minat ketika kecil. Apa yang pada awalnya dilakukan sebagai hobi akhirnya berkembang sehingga membawanya ke pertandingan dan festival di dalam serta luar negara.

Namun, dia tidak mahu perjalanan itu berhenti setakat pencapaian peribadi. Baginya, seni pembuatan wau tradisional termasuk Wau Sobek perlu mempunyai generasi yang akan meneruskannya.

Cabaran itu bukan kecil apabila golongan muda kini lebih tertarik kepada gajet berbanding seni halus yang memerlukan masa, kesabaran dan ketelitian.

Dalam hal itu, Muhd Azeimi melihat perkembangan minat dua anaknya, Muhammad Faiz Danial, 20, dan Muhammad Denie Danial, 17, sebagai sesuatu yang positif. Kedua-duanya turut berminat menghasilkan wau termasuk Wau Sobek dan kerap menyertai pertandingan sehingga meraih kemenangan.

“Kedua-dua anak saya juga sudah kerap bergelar juara dalam pertandingan berkaitan wau dan pendedahan awal yang diberikan juga antara faktor minat mereka bercambah.

“Saya sangat berharap pembuatan wau tradisional termasuk Wau Sobek tidak ditelan zaman kerana ini adalah satu daripada warisan negara dan sudah pasti memerlukan pelapis untuk terus menghidupkan seni ini,” katanya.

Bagi Muhd Azeimi, perjalanan dalam dunia wau masih belum selesai. Selagi ada tempahan, pertandingan dan ruang untuk berkongsi ilmu, selagi itu seni yang dipelajarinya sejak kecil mempunyai peluang untuk terus dikenali dan diwarisi.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Sekolah Jangan Sorok Kes Buli, Lapor Polis Segera

0
SHAH ALAM – Pihak sekolah diminta tidak menyembunyikan kes buli sebaliknya segera melaporkannya kepada polis bagi membolehkan tindakan awal diambil sebelum masalah menjadi lebih...

CATEGORIES