JAKARTA – Kumpulan Penjenayah Bersenjata (KKB) sekali lagi melakukan keganasan di Papua Tengah selepas menjadikan sembilan wanita tebusan, menembak mati seorang ibu dan mencampakkan anaknya ke dalam gaung dalam insiden di Jila, Daerah Mimika pada Selasa lalu, lapor saluran berita Bali Express.
Ketua Polis Daerah Mimika, AKBP Alfredo Agustinus Rumbiak mengesahkan tragedi tersebut.
Kejadian dilaporkan bermula apabila kira-kira 15 anggota KKB cuba memaksa 11 wanita mengikut mereka masuk ke dalam hutan.
Tindakan itu bagaimanapun mendapat tentangan dua mangsa.
Salah seorang mangsa yang enggan mematuhi arahan, Neregingget Magai, 48 maut ditembak di tempat kejadian.
Anak mangsa yang dikenali sebagai IA, turut dicampak oleh penyerang ke dalam gaung sehingga mengalami patah kaki.
Sementara itu, sembilan lagi mangsa wanita dilarikan ke dalam hutan.
Sebahagian besar daripada mereka merupakan pelajar sekolah rendah dan remaja, termasuk seorang yang kini dilaporkan hamil muda.
Pihak Daerah Mimika telah menggerakkan tindakan pantas susulan insiden berkenaan.
Walaupun kawasan Jila hanya boleh diakses melalui laluan udara, satu skuad anggota Batalion B Brimob telah diterbangkan menggunakan helikopter bagi memperketat kawalan keselamatan serta melancarkan operasi memburu kesemua suspek.
Sumber – AGENSI





