Friday, August 14, 2026
HomeHIBURAN‘Macam Jamal, Siti, Ke Konsert Mesti Nak Dengar Lagu Hit’

‘Macam Jamal, Siti, Ke Konsert Mesti Nak Dengar Lagu Hit’

HAMPIR empat dekad berkelana dalam dunia muzik, kumpulan rock otai XPDC Kita Peng Yu (KPY) masih teguh mempertahankan identiti muzik yang menjadi nadi perjuangan mereka sejak awal pembabitan.

Bagi kumpulan yang sinonim dengan genre metal rock itu, perubahan zaman bukan alasan untuk mereka mengorbankan acuan muzik semata-mata mahu mengejar cita rasa generasi baharu, khususnya Gen Z.

Pemain bass XPDC KPY, Zuar berkata, mereka tidak pernah terfikir untuk mengadun muzik rock dengan genre semasa seperti rap atau hip-hop bagi menarik perhatian pendengar muda.

“Setakat ini tidak pernah terfikir. Identiti XPDC KPY tetap dikekalkan. Belum terfikir berkolaborasi dengan mana-mana kumpulan muzik baharu.

“Mereka pun tidak boleh menghayati muzik kami tetapi bagi saya sekurang-kurangnya separuh daripada golongan muda ini sudah mula meminati muzik kami,” katanya  selepas sidang media  Konsert XPDC Kita Peng Yu Headbang Live & Loud di Odeon Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Generasi muda

Menurut Zuar lagi, bukan terus menolak sebalik punya sebab kukuh berbuat demikian memandangkan generasi terdahulu mempunyai peranan penting dalam memperkenalkan dan mewariskan muzik rock tempatan kepada pendengar muda.

Katanya, pengalaman menjayakan persembahan di pelbagai lokasi termasuk karnival membuktikan muzik XPDC KPY masih mampu menarik perhatian khalayak tanpa mengira usia.

“Itu perkara biasa bagi generasi baharu. Generasi lama akan menjelaskan genre muzik kepada generasi sekarang. Waktu kami buat show atau konsert peminat muda ramai datang dan ikut menari. Sekurang-kurangnya mereka menunjukkan minat terhadap muzik kami.

“Memang ada tawaran kerjasama,  namun belum dapat direalisasikan. Bagi saya tak perlu ikut trend buat mash-up. Kalau sesuai kita buat, tapi setakat ini kami berpegang kepada prinsip.

“Ini kerana mereka yang kental dengan lagu XPDC Kita Peng Yu sudah serasi dengan genre kami. Mungkin persembahan seterusnya jika ada yang mahu berkolaborasi, kami okey kerana enggan tertumpu kepada satu golongan pendengar sahaja,” katanya.

Ditanya mengenai pembikinan album penuh, akui Zuar, XPDC KPY tiada perancangan ke arah itu buat masa ini kerana kurang relevan dengan landskap industri muzik ketika ini.

Lebih praktikal

Mereka memilih pendekatan lebih praktikal dengan menghasilkan single sebagai medium untuk terus memperkenalkan karya baharu kepada pendengar.

“Kami ada lagu single berjudul Satu Arah. Kalau untuk album, bagi saya sukar dapat pulangan semula. Tetapi jika mahu buat koleksi premium, boleh sahaja direalisasikan.

“Bagi kami, cukuplah hasilkan single sahaja untuk orang terus mengenali XPDC Kita Peng Yu. Ini juga sebagai variasi ketika tampil di depan penonton.

“Setakat ini memang album penuh bukan dalam perancangan. Jika band atau penyanyi lain masih nak hasilkan album, kami tetap raikan. Tidak semestinya orang lain kena ikut pandangan kita. Mereka pun punya sebab tersendiri nak buat album,” ujarnya.

Malah katanya,  keputusan tersebut turut dipengaruhi perubahan tabiat pendengar menikmati lagu secara digital, selain kehendak peminat yang memilih seleksi popular band kegemaran.

Sementara itu, Amy selaku pemain dram pula berpandangan penonton konsert sebenarnya menantikan dendangan yang sudah sebati dengan diri mereka sekali gus bernostalgia.

Menurutnya, faktor tersebut menyebabkan kumpulan yang sudah lebih tiga dekad dalam industri itu tidak perlu terlalu terdesak menghasilkan banyak karya baharu.

“Biasanya untuk kumpulan macam kami yang lebih tiga dekad, peminat datang nak dengar semua lagu yang ada nostalgia dalam diri mereka.

“Kalau kita menonton persembahan artis lain, contohnya Datuk Jamal Abdillah atau Datuk Seri Siti Nurhaliza, kita mesti nak dengar lagu hit mereka,” kongsinya.

Berkenaan Konsert XPDC Kita Peng Yu Headbang Live & Loud pula,  band yang turut dibarisi Arry (vokalis), Jeff (gitar) itu bakal menggegarkan Odeon Kuala Lumpur 22 Ogos depan.

Konsert berkenaan bakal mengetengahkan seleksi daripada album Metal 60’an, sekali gus menjadi medan buat peminat bernostalgia dengan karya yang pernah mewarnai perjalanan panjang band berkenaan.

Tiket konsert dijual pada harga bermula dari RM98 hingga RM298 mengikut kategori menerusi dalam talian melalui Official XPDC Kita Peng Yu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Tren Pecut 800 Kilometer Sejam Dalam 5 Saat

0
BEIJING – Sebuah kereta api laju yang sedang diuji di China memecahkan rekod dunianya sendiri apabila bergerak dari sifar  ke kelajuan 800 kilometer (km)...

CATEGORIES