WUJUD cerita berhenti pada noktah, ada pula sengaja meninggalkan tanda tanya untuk generasi seterusnya menyelongkar rahsia lebih dalam.
Begitu juga dunia High Council apabila kisah penuh hierarki, kuasa dan maskuliniti toksik kini mengundur masa, membawa penonton menelusuri akar segala kekusutan menerusi KUDRAT 1968.
Selepas siri premium Projek: High Council pada 2023 disusuli filem Kahar: Kapla High Council (2024), dunia berkenaan kini diperluaskan dengan sebuah kisah baharu penuh teka-teki.
Lebih menarik, KUDRAT 1968 tampil sebagai prekuel, membawa penonton kembali ke titik awal kewujudan sistem hierarki rahsia ciptaan pelajar sendiri, sekali gus membuka lembaran sejarah sebelum lahirnya dunia High Council.
Tidak semata-mata kembali ke masa lalu, karya terbaharu terbitan Astro Shaw itu turut mencetuskan pendekatan baharu menerusi konsep satu cerita dalam dua format apabila empat episod siri premium Astro Originals bakal dipertontonkan terlebih dahulu sebelum filem berkenaan menemui penonton di pawagam.
Kali ini, Mierul Aiman diumumkan sebagai pelakon utama bersama lima lagi watak penting dijayakan Zarif Ghazzi, Akmal Asyraf, Dai Fuad, Evertts Gomes dan Chech Harith.
Penerbit Eksekutif KUDRAT 1968 merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pemilihan enam pelakon berkenaan dibuat bagi menghidupkan generasi pertama dalam dunia KUDRAT 1968.

“Kami membawa penonton kembali ke asal-usul High Council. Setiap pelakon dipilih menerusi sesi uji bakat dan mereka membawa karakter serta tenaga tersendiri untuk menghidupkan generasi pertama dalam dunia KUDRAT 1968.
“Kami juga teruja memperkenalkan barisan kreatif di sebalik projek ini, termasuk penerbit eksekutif Zulaikha Zakaria dan Khairi Asyraff, yang akan meneruskan legasi penceritaan High Council menerusi perspektif baharu.
“Walaupun ini merupakan kemunculan pertama Zulaikha sebagai pengarah, dia bukan wajah baharu dalam dunia ini kerana sudah menjadi sebahagian penting daripada perjalanan High Council sejak awal sebagai penulis dan pengarah bersama,” kata Raja Jastina kepada HibGlam.
Tambahnya, gandingan Zulaikha bersama Khairi Asyraff, pengarah muda dengan pendekatan segar, diyakini mampu memberikan dimensi baharu kepada francais berkenaan.
Menariknya, konsep dua format itu turut memberikan cabaran tersendiri buat pasukan kreatif apabila mereka perlu memastikan penceritaan empat episod mempunyai struktur tersendiri, namun tetap bersambung dengan naratif filem.
Penceritaan berbeza
Mewakili kerusi sutradara, Zulaikha mengakui pendekatan tersebut bukan mudah, tetapi pada masa sama memberikan pengalaman menyeronokkan buat pasukan produksi kerana mereka tidak terikat kepada formula filem atau siri secara konvensional.
“Struktur penceritaannya sedikit berbeza. Ada bahagian perlu dikekalkan, tetapi ada juga elemen perlu disesuaikan supaya empat episod itu dapat berdiri dengan baik.
“Lebih sedikit episod, sebenarnya lebih mencabar kerana banyak watak dan cerita perlu disampaikan dalam ruang lebih terhad. Dalam dunia KUDRAT, masih banyak watak serta lapisan cerita untuk diteroka kerana dunianya jauh lebih besar daripada High Council,” kongsinya.
Sebagai pengarah wanita, Zulaikha juga tidak melihat latar dunia lelaki ganas, pergelutan dan aksi fizikal sebagai halangan dalam mengemudi barisan pelakon.
Di sebalik aksi, pergelutan dan dunia lelaki penuh kuasa, Zulaikha melihat KUDRAT 1968sebagai karya lebih besar daripada sekadar kisah buli atau keganasan.
Katanya, jika High Council menyelongkar isu maskuliniti toksik dalam lingkungan sekolah, KUDRAT 1968 pula membuka pandangan lebih luas terhadap masyarakat.
“Dalam High Council, apabila orang melihat kami menghasilkan cerita tentang buli, sebenarnya kami turut mengetengahkan maskuliniti toksik serta pemahaman tentang bagaimana seorang lelaki sepatutnya berkelakuan.
“Untuk Kahar, kami membawa kisah peribadi watak utama dan bagaimana dia boleh terbentuk sedemikian. KUDRAT pula merupakan pemerhatian terhadap masyarakat secara lebih luas,” jelasnya.
Paling penting kata Zulaikha, pemilihan latar tahun 1968 sendiri mempunyai makna tersendiri dan menjadi petunjuk kepada skop cerita lebih besar untuk diterokai.
Diterbitkan Astro Shaw bersama ZAK Capital, Enotech Pictures, Pegasus Motion Pictures dan HM Entertainment, KUDRAT mengisahkan seorang pelajar dipaksa memasuki sebuah institusi dibina atas nama bapanya. Di sebalik legasi yang diwarisi, dia berdepan dilema apabila perlu memilih sama ada mempertahankan sistem membentuk dirinya atau menjadi individu bakal menghancurkannya.
Sumber – Kosmo! Online





