Kuala Lumpur, 21 Julai 2026 – Amanah Raya Berhad (AmanahRaya), satu-satunya Pemegang Amanah Awam di Malaysia, bersama Malaysia Law Institution (MLI) berjaya menganjurkan Joint Global Business Conference (JGBC) 2026: Blueprints for the Future – An Estate Planning Symposium, yang menghimpunkan profesional perancangan harta pusaka, pengamal undang-undang, pakar kewangan, pembuat dasar serta pemimpin industri bagi membincangkan perkembangan terkini, memperkukuh kerjasama strategik dan memacu masa depan landskap perancangan legasi di Malaysia.
Persidangan ini menandakan tahun kedua berturut-turut kerjasama antara AmanahRaya dan MLI, sekali gus mencerminkan komitmen bersama kedua-dua organisasi dalam memperkasa pengetahuan profesional serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan perancangan legasi di Malaysia.
Berlangsung di Kuala Lumpur Golf & Country Club, persidangan tersebut menampilkan lebih 20 penceramah dari dalam dan luar negara menerusi ucaptama, perbincangan panel serta sesi perkongsian ilmu yang merangkumi topik wasiat dan amanah, struktur family office, perancangan harta pusaka patuh Syariah, pemeliharaan kekayaan, strategi pelaburan dan perkhidmatan pemegang amanah. Persidangan ini turut menjadi platform strategik bagi pertukaran ilmu, jaringan profesional dan perbincangan mengenai pendekatan masa hadapan untuk memperkukuh ekosistem perancangan legasi negara.
Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Perniagaan & Operasi Kumpulan AmanahRaya, Jack Yap Ngee Heong, berkata persidangan tersebut mencerminkan komitmen berterusan AmanahRaya dalam memperkukuh ekosistem perancangan harta pusaka negara melalui kerjasama strategik bersama pihak berkepentingan industri dan institusi profesional.
“Perancangan harta pusaka yang berkesan memerlukan perkongsian ilmu secara berterusan serta kerjasama merentas pelbagai disiplin. Persidangan seperti JGBC 2026 menyediakan platform yang amat bernilai kepada para profesional daripada pelbagai latar belakang untuk bertukar pandangan, berkongsi kepakaran, memperkukuh kerjasama serta memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat Malaysia dalam merancang legasi mereka.
“AmanahRaya berbesar hati untuk meneruskan kerjasama strategik ini bersama MLI. Kami yakin inisiatif ini akan terus memajukan profesion perancangan legasi di samping meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan perancangan harta pusaka demi manfaat generasi akan datang,” katanya.
Pengasas Malaysia Law Institution, Sim Wen Yee, berkata JGBC 2026 mencerminkan komitmen MLI dalam memupuk kerjasama merentas industri, memperkukuh pengetahuan profesional serta memacu masa depan perancangan harta pusaka di Malaysia.
“Seiring landskap perancangan harta pusaka yang terus berkembang, kerjasama merentas industri menjadi semakin penting. Perbincangan yang bermakna serta perkongsian ilmu dalam kalangan pemain industri amat diperlukan bagi memastikan individu dan keluarga lebih bersedia untuk memelihara serta memindahkan kekayaan mereka kepada generasi seterusnya.
“Kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada AmanahRaya atas kerjasama dan sokongan yang berterusan untuk tahun kedua berturut-turut. Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama dalam mempertingkatkan standard profesional, meningkatkan kesedaran masyarakat serta membangunkan ekosistem perancangan harta pusaka yang lebih kukuh dan bersedia menghadapi masa hadapan di Malaysia.
“Melalui inisiatif seperti JGBC, MLI kekal komited memperkasakan para profesional dengan pengetahuan dan jaringan yang diperlukan bagi mewujudkan nilai jangka panjang kepada keluarga, perniagaan serta generasi akan datang,”katanya.
Sebagai satu-satunya Pemegang Amanah Awam di Malaysia, AmanahRaya kekal komited untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan perancangan harta pusaka di samping menyokong pelbagai inisiatif yang memperkukuh keupayaan profesional, menggalakkan perancangan legasi yang lebih berinformasi serta menyumbang kepada pembangunan berterusan ekosistem perancangan harta pusaka negara.





