Saturday, July 11, 2026
HomeHIBURAN‘Yang Jahat Bukan Kami Tapi Watak, Marahlah Watak

‘Yang Jahat Bukan Kami Tapi Watak, Marahlah Watak

BARU sahaja beberapa episod bersiaran, Ikatan Terlarang mendapat sambutan luar biasa pencinta drama tempatan.

Kali ini, Hisyam Hamid sekali lagi mencabar dirinya dengan membawakan watak cukup dibenci penonton iaitu suami yang tergamak mencurangi isterinya.

Meskipun sedar karakter sedemikian bakal mengundang amarah ramai, pelakon berusia 40 tahun itu mengakui seronok meneroka sisi gelap itu demi memberikan kelainan dalam corak lakonannya.

“Kali ini saya rasa ada banyak peluang untuk jadi lebih sarkastik, manipulatif dengan dialog-dialog yang ada dan sudah semestinya kadang-kadang kita tambah baik sikit untuk buat orang benci.

“Sebagai pelakon, watak Lukman memberi satu dimensi yang berbeza daripada sudut lakonan saya,” katanya.

Biarpun dibenci, Hisyam melihat reaksi negatif itu sebagai satu pujian terhadap persembahannya.

“Ada beberapa komen atau hantaran dalam Threads yang cakap mereka minat saya tapi bila tengok cerita ini mereka jadi benci.

“Saya rasa ‘mission accomplished’ (misi tercapai) sebab nak jadi jahat. Memang itulah tujuannya supaya orang tak suka dan benci,” ujarnya.

Berkongsi lanjut, Hisyam mengakui menerima banyak mesej serta komen berbentuk makian, namun enggan ambil pusing.

“Ada terima mesej makian dan cacian tapi bagi saya itu perkara biasa. Mereka marahkan Lukman.

“Tapi ada satu saya perasan, marah betul dia dengan saya dan Mawar Rashid. Dia tulis ‘Hisyam dan Mawar adalah manusia paling s*** sekali dalam Malaysia.

“Saya macam nak balas, yang jahat itu bukan kami tapi watak. Kalau nak marah, marahlah watak tapi bila fikir balik tidak mengapalah. Mungkin dia terbawa-bawa emosi,” kongsinya.

HISYAM, Mawar, Erysha dan Raja Azura berjaya melunaskan watak masing-masing dengan cemerlang dalam Ikatan Terlarang.

Keserasian dengan Erysha

Dalam masa sama, bintang kelahiran Singapura itu turut berkongsi pengalaman pertama kali bergandingan dengan Erysha Emyra.

Menurut Hisham, dia sangat mengagumi komitmen dan profesionalisme yang ditunjukkan heroinnya terutama ketika Erysha berdepan ujian peribadi sepanjang penggambaran.

“Ini pertama kali saya bekerja dengan Erysha, apa saya boleh cakap dia seorang yang sangat komited, buat kajian skrip sampai setiap babak dia tahu apa akan jadi.

“Senang cari keserasian ketika bergandingan dengan Erysha walaupun ketika penggambaran dia diuji kehilangan bapa.

“Dia bijak menguruskan perasaan dan tahu asingkan (hal peribadi) bila masuk set dan saya sangat menghormati dia.

“Dia heroin pelapis yang ada potensi besar untuk cemerlang dalam kerjaya ini,” katanya.

Sedar usia Erysha yang jauh lebih muda, Hisyam menegaskan itu bukan penghalang untuk membina keserasian sebagai suami isteri dalam Ikatan Terlarang.

“Usia hanyalah angka. Yang penting adalah profesionalisme, disiplin dan komitmen yang kita inginkan.

“Dari dulu lagi saya suka digandingkan dengan pelakon baharu. Sejujurnya saya tak ada masalah untuk bekerja dengan sesiapa pun.

“Syarat saya satu sahaja, janji orang itu tak cetuskan masalah, bukan ‘diva’ dan senang bekerjasama,” tutupnya.

Sumber – Kosmo! Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Pelakon Drama Gerak Khas, Tisha Samsir Nafi Terlibat Dadah

0
KUALA LUMPUR – Seorang pelakon wanita drama kepolisan Gerak Khas 2.0 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memberikan...

CATEGORIES