KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pelarian Rohingya di negara ini supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan tempatan atau berdepan tindakan tegas.
Beliau berkata, walaupun Malaysia mengambil pendekatan berperikemanusiaan, golongan itu tetap tertakluk kepada sistem perundangan negara termasuk dalam aspek penggunaan premis bangunan dan pengendalian perniagaan.
“Nasihat kepada rakyat Myanmar khususnya Rohingya, mereka juga harus patuh kepada peraturan yang ada dalam negara kita. Bangunannya, perniagaannya, mesti mengikut peraturan…dan kalau tidak ikut, kita terpaksa ambil tindakan,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hidayah, Sentul di sini pada Jumaat.

Perdana Menteri berkata, isu penguatkuasaan terhadap pelarian Rohingya itu turut diteliti dalam Mesyuarat Jemaah Menteri bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi memastikan tindakan perundangan digerakkan secara konsisten.
Selain itu, beliau mengingatkan pihak berkuasa perbandaran dan kerajaan negeri supaya memainkan peranan lebih tegas dalam memantau sebarang salah laku atau salah guna premis melibatkan golongan berkenaan.
Mengulas desakan supaya pelarian Rohingya dihantar pulang ke negara asal, Anwar menjelaskan, ia adalah kemelut kemanusiaan yang kompleks memandangkan proses penghantaran balik mahupun penempatan ke negara ketiga masih menemui jalan buntu.
“Orang boleh bicara hantar pulang, hantar pulang ke mana? Sebab kita ada masalah dengan kerajaan Myanmar yang menghalang. Jadi, dalam rundingan saya dua kali dengan pimpinan Myanmar, saya minta dua perkara.
“Pertama, bantuan yang kita beri itu dijamin dapat (memberi) manfaat kepada semua (dan) ini dipersetujui. Kedua, hentikan penindasan dan jenayah ke atas rakyat Myanmar, Muslim mahupun bukan Islam di Rakhine dan juga di Myanmar seluruhnya,” katanya.
Sementara itu, beliau mengingatkan rakyat Malaysia supaya mengekalkan nilai kemanusiaan dan tidak mengambil tindakan sendiri, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menangani isu tersebut.
“Saya harap rakyat kita, terutama masyarakat Islam yang membantah, harus dijaga kemanusiaan kita dan janganlah melanggar peraturan dan undang-undang dalam menangani masalah ini,” katanya.
Sumber – Bernama





