KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penipuan dalam talian antarabangsa yang beroperasi di kondominium mewah sekitar Lembah Klang dengan penahanan 187 individu serta rampasan aset bernilai RM57.68 juta menerusi Op Teguh 2.0, minggu lalu.
Operasi berskala besar pada 6 hingga 7 Mei lalu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Cawangan Khas, Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), CyberSecurity Malaysia (CSM) serta Telekom Malaysia (TM).
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, operasi tersebut membuktikan komitmen berterusan PDRM dalam memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap jenayah komersil moden yang menggunakan platform digital sebagai medium utama kegiatan rentas sempadan.
“Op Teguh 2.0 turut membuktikan keupayaan dan kesiapsiagaan PDRM dalam melaksanakan tindakan bersepadu demi melindungi masyarakat daripada ancaman sindiket scam antarabangsa,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, di sini hari ini.
Katanya, operasi itu memberi tumpuan kepada kegiatan calling centre, penipuan pelaburan saham, scam kewangan serta jenayah komersil rentas sempadan yang menyasarkan warga tempatan dan luar negara.
Beliau berkata, sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 46 serbuan dilakukan di beberapa premis kediaman termasuk kondominium mewah sekitar Lembah Klang.
“Hasil operasi itu, seramai 187 individu terdiri daripada 151 lelaki dan 36 wanita pelbagai warganegara berjaya ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penipuan dalam talian rentas sempadan,” katanya.
Mohd Khalid berkata, tangkapan melibatkan 129 warga China, 23 warga tempatan selain warga Jepun, Vietnam, Indonesia, Laos, Thailand, Filipina dan Myanmar.
Katanya, JSJK turut merampas pelbagai aset dan harta dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan dalam talian dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM57.68 juta.
Antara rampasan utama ialah tiga hartanah mewah bernilai RM38 juta selain 20 kenderaan mewah termasuk Rolls-Royce Cullinan, Mercedes-Benz G63, Toyota Supra MK4 dan Zeekr 009 Executive bernilai RM6.58 juta.
“Turut dirampas ialah 67 barangan mewah seperti jam tangan, beg tangan, barang kemas, dompet dan jongkong emas bernilai RM12 juta selain 556 unit peranti digital termasuk telefon bimbit, komputer dan komputer riba,” ujarnya.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menyasarkan mangsa dari Hong Kong, China, Korea dan Jepun menerusi pelbagai modus operandi termasuk penipuan pelaburan tidak wujud, phone scam, love scam serta perjudian dalam talian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 120B Kanun Keseksaan dan Seksyen 5 Akta Jenayah Komputer 1997.
Sumber – KOSMO! ONLINE





