Friday, May 15, 2026
HomeBERITAPerdana Menteri Sempurnakan Sambutan Hari Belia Negara 2026 Peringkat Kebangsaan

Perdana Menteri Sempurnakan Sambutan Hari Belia Negara 2026 Peringkat Kebangsaan

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang berlangsung di d’Tempat dan X Park, Sendayan, Negeri Sembilan, hari ini.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran YB Dr. Mohammed Taufiq Bin Johari, Menteri Belia dan Sukan, YB Tuan Mordi Anak Bimol, Timbalan Menteri Belia dan Sukan dan Saudara Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).

Sambutan HBN 2026 menandakan komitmen berterusan Kerajaan melalui pengukuhan kerjasama strategik rentas kementerian, jabatan dan agensi dalam memperkasa golongan belia sebagai pemacu utama pembangunan negara. Pendekatan secara kolektif dan menyeluruh ini amat penting bagi memastikan agenda pembangunan belia dapat dilaksanakan secara lebih bersepadu, inklusif dan berimpak tinggi. Memasuki edisi ke-62 sejak diperkenalkan pada tahun 1964, sambutan HBN kekal sebagai manifestasi penghargaan tertinggi negara terhadap sumbangan besar golongan belia dalam mencorakkan kemajuan, perpaduan dan masa depan Malaysia.

Bertemakan “Menggerak Belia MADANI”, sambutan HBN 2026 membawa mesej bahawa belia Malaysia bukan sahaja pewaris masa depan, malah peneraju perubahan masa kini. Tema ini menyeru seluruh anak muda untuk bangkit, berani mencipta, terus berdaya saing serta memainkan peranan aktif dalam membina negara yang progresif, inklusif dan berdaya tahan.

Sambutan HBN edisi ke-62 tahun 2026 turut menandakan era baharu dalam landskap pembangunan belia negara menerusi penguatkuasaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 [Akta A1602] yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2026. Akta ini menetapkan takrifan umur belia kepada 15 tahun hingga sebelum mencapai 30 tahun. Pelaksanaan pindaan ini dijangka dapat meremajakan kepimpinan pertubuhan belia, merapatkan jurang generasi, serta memperkukuh pembangunan bakat dan kepimpinan. Seterusnya, ia akan memastikan agenda pembangunan belia negara kekal relevan, lebih inklusif dan selaras dengan amalan terbaik di peringkat global.

Pelan Tindakan Pembangunan Belia Malaysia 2035 (PBM 2035) turut dilancarkan bersempena sambutan HBN pada hari ini. Pelan ini membawa visi untuk membangun dan menyerlahkan potensi belia secara holistik, sejajar dengan aspirasi negara dalam memperkasa generasi muda. Pelan ini dibangunkan sebagai dokumen dinamik perancangan strategik yang merentas pelbagai kumpulan pelaksana, melibatkan lapan (8) kumpulan sasar pembangunan belia. Inisiatif ini akan digerakkan secara bersepadu dengan semua kementerian, jabatan serta agensi yang bertindak sebagai peneraju dan pelaksana inisiatif di bawah Pelan Tindakan PBM 2035 bagi memastikan agenda pembangunan belia dilaksanakan secara menyeluruh, inklusif dan berimpak tinggi.

Selain itu, dalam usaha memperkukuhkan penyertaan dan pembangunan belia secara menyeluruh, kerajaan memperkenalkan inisiatif Rakan Muda MADANI sebagai platform kolaboratif merentas kementerian dan agensi bagi memperluas akses serta peluang kepada golongan belia. Melalui pendekatan ini, pelaksanaan 10 gaya hidup Rakan Muda akan terus diperkasakan sebagai medium pembangunan bakat, jati diri, kepimpinan, kesukarelawanan, kreativiti, inovasi, kesihatan, ekonomi digital dan keusahawanan belia secara lebih inklusif, bersepadu dan berimpak tinggi.

Sambutan HBN 2026 dimeriahkan menerusi lima (5) segmen utama, iaitu Penciptaan dan Peluang Pekerjaan; Kepimpinan, Kesukarelawanan dan Pengantarabangsaan; Malaysia Aktif; Inovasi dan Digital; serta Kebudayaan, Kesenian dan Muzik. Pengunjung disajikan dengan lebih daripada 169 pengisian program/ aktiviti sepanjang tiga hari penganjuran bermula 15 hingga 17 Mei 2026. Antara tarikan utama termasuk Konvensyen Belia Kebangsaan, Belia Berselawat (UNIC), Neon Run @ HBN2026, Digital Change Makers oleh MDEC, Karnival MY FutureJobs oleh PERKESO, Mini Konsert Universal Music, Street Youth Craft x Pasar Sera, Kejohanan Pickleball Belia MADANI serta pelbagai lagi aktiviti menarik untuk semua lapisan masyarakat.

HBN 2026 merupakan platform penting untuk memperkukuh semangat patriotisme, perpaduan, kesukarelawanan dan kepimpinan dalam kalangan belia. Dalam era yang dipacu oleh teknologi, kecerdasan buatan (AI), ekonomi hijau serta dinamika geopolitik global, belia perlu tampil sebagai generasi yang berilmu, rasional, inovatif dan berdaya tahan. Aspirasi ini selaras dengan nilai teras Malaysia MADANI, khususnya dalam aspek kemampanan dan kesejahteraan.

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berhubung penganjuran HBN, sila hubungi Sekretariat Sambutan Hari Belia Negara melalui talian 03-8871 3265/ 3796/ 3296 atau e-mel shbn@kbs.gov.my.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Sindiket Scam Antarabangsa Tumpas, Rampasan RM57.68 Juta

0
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penipuan dalam talian antarabangsa yang beroperasi di kondominium mewah sekitar Lembah Klang dengan penahanan 187...

CATEGORIES