Monday, April 20, 2026
HomeHIBURANAmir Masdi Cari Dana Ke World Music Contest Di Belanda

Amir Masdi Cari Dana Ke World Music Contest Di Belanda

SHAH ALAM – Penyanyi Amir Masdi bakal membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa bersama kumpulan orkestra Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) di World Music Contest (WMC) 2026 di Kerkrade, Belanda menjelang Julai nanti.

Seiring penglibatan tersebut, Amir atau nama lengkapnya Amir Syazwan Masdi, 30, bersama pasukan orkestra dari Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya itu bakal mengadakan konsert amal, Wings Of Glory pada 25 April depan bertempat di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bagi tujuan mengumpul dana untuk menampung kos ke sana.

“Saya dilamar untuk buat konsert, asalnya itu yang nombor dua. Yang pertama adalah untuk pergi ke Netherlands bersama SP Winds bagi pertandingan orkestra.

“Tahun sebelum ini mereka dah pernah menjuarai pertandingan tersebut. Tapi kali ini mereka nak panggil penyanyi juga jadi mereka pilih saya.

“Tapi untuk ke sana, kami rancang untuk buat satu konsert iaitu Wings Of Glory yang mana untuk mencari dana dan mungkin dari situ antara satu cara buat kami berlatih untuk ke sana,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media Anugerah Juara Lagu ke-40 Separuh Akhir (AJL40SA) baru-baru ini.

Ditanya mengenai pemilihan dirinya menjadi sebahagian persembahan tersebut, pelantun lagu NurCinta itu berasakan kebolehannya membawakan lagu dalam pelbagai bahasa mungkin menjadi menjadi faktor utama.

“Itu kena tanya mereka. Tapi apa yang saya tahu, mereka cakap nak penyanyi versatil dan boleh menyanyi pelbagai bahasa.

“Mungkin ada lagu Inggeris yang nak dibawakan atau bahasa lain sebab saya pernah bawa lagu Itali dan Jepun.

“Ada beberapa bahasa yang saya berpengalaman menyanyi, yang mana tak mudah pun. Jadi saya sangat berharap saya dapat menyampaikan dengan SPWinds,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Amir mengakui sedikit terkejut apabila jadual pertandingan tersebut bertindih dalam jarak masa yang dekat dengan persediaan Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40).

Dia bagaimanapun nekad mahu memberikan komitmen seimbang bagi kedua-dua tanggungjawab besar tersebut.

“Saya dan pasukan saya macam terkejut jugalah, dua pertandingan dengan jarak dekat. Saya tak boleh lebihkan mana-mana dan kena seimbangkan kedua-duanya.

“AJL sangat penting untuk kerjaya saya dan SPWinds sangat penting untuk pelajar-pelajar yang mengharapkan orang lebih berpengalaman,” jelasnya.

Meskipun teruja, Amir tidak menafikan wujud perasaan bimbang untuk terbang ke luar negara memandangkan situasi global yang tidak menentu ketika ini.

“Saya pun risau nak ke Netherlands sebab dengan keadaan sekarang. Tapi saya harap okey sikit.

“Saya juga berharap ketika itu tiada apa-apa yang serius dan semoga kami semua dapat pergi dengan hati yang tenanglah,” tuturnya.

Untuk info, SPWinds pernah melakar nama di peringkat antarabangsa apabila meraih Anugerah Emas pada World Orchestra Festival ke-11 di Vienna, Austria pada tahun lalu.

Pencapaian tersebut sekali gus mengukuhkan kedudukan SPWinds sebagai antara pasukan orkestra sekolah terbaik di negara ini.

Sumber – KOSMO! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Telefon Retak Seribu, Vida Hadiahkan Azar Azmi IPhone 17 Pro Max

0
PETALING JAYA – Usahawan sensasi Datuk Seri Vida menghadiahkan satu set iPhone 17 Pro Max kepada pelakon Azar Azmi berikutan keadaan telefonnya yang retak...

CATEGORIES