KUALA LUMPUR: Kerajaan terus komited memastikan kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa menjadi keutamaan, khususnya dalam aspek perumahan yang selesa, selamat dan mampu dimiliki.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata projek perumahan berkenaan bukan sekadar menyediakan tempat tinggal kepada anggota ATM, malah mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam menjamin kesejahteraan hidup mereka serta keluarga.
“Isu kesejahteraan bukan hanya berkait soal keselamatan dan pertahanan negara, tetapi turut merangkumi kehidupan seharian anggota termasuk perumahan, kesihatan, pendidikan, pendapatan dan kebajikan keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Projek Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) Residensi Sateria di Sungai Besi, di sini, pada Isnin.
Mohamed Khaled memaklumkan, projek SASaR Residensi Sateria Sungai Besi melibatkan pembinaan lebih 3,500 unit kediaman yang dijual pada harga di bawah harga pasaran semasa kepada anggota ATM, veteran dan kakitangan awam Kementerian Pertahanan, sekali gus membantu mereka memiliki rumah sendiri.

Beliau menegaskan bahawa pemilikan rumah adalah asas penting dalam membina keluarga yang stabil dan sejahtera, seterusnya menyumbang kepada kekuatan institusi keluarga serta masyarakat secara keseluruhan.
“Kehidupan berkeluarga tidak dapat dibina dengan sempurna tanpa sebuah kediaman yang kondusif. Rumah bukan sekadar tempat berlindung, tetapi ruang untuk membentuk nilai kekeluargaan, kasih sayang dan kebersamaan,” katanya.
Tambah beliau, persekitaran perumahan yang baik juga memberi kesan positif terhadap pembesaran anak-anak, pendidikan serta ketahanan keluarga dalam menghadapi cabaran hidup.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek tersebut, termasuk agensi kerajaan dan pihak pelaksana, atas komitmen bagi memastikan projek berkenaan dapat direalisasikan demi kebajikan warga ATM.
“Projek ini adalah bukti bahawa kerajaan menghargai jasa dan pengorbanan anggota ATM. Mereka bukan sahaja mempertahankan kedaulatan negara, malah berhak menikmati kehidupan yang bermakna, aman dan sejahtera,” katanya.
Beliau berharap inisiatif seperti SASaR akan terus diperkukuh dan diperluaskan pada masa hadapan bagi memastikan setiap anggota ATM berasa dihargai serta dilindungi kebajikannya.
Projek inisiatif Kementerian Pertahanan (Mindef) itu, katanya, bagi memberi manfaat kepada anggota ATM, veteran dan kakitangan awam kementerian itu.
Dengan keluasan antara 1,000 hingga 1,200 kaki persegi, unit-unit ini ditawarkan pada harga mampu milik sekitar RM150,000 hingga RM250,000. Setiap unit menyediakan tiga hingga empat bilik, dua tandas dan satu parkir yang direka bagi keselesaan serta keperluan sesebuah keluarga.
Sementara itu, Staf Sarjan Siti Noor Azuwa Mohd Rosli dari Pusat Teknologi Maklumat (PUSTEKMA), Markas Tentera Darat meluahkan rasa gembira, terharu dan bersyukur apabila menerima kunci rumah pada hari ini.

Menurutnya, peluang memiliki rumah sendiri di Kuala Lumpur merupakan satu rezeki yang amat bermakna memandangkan harga hartanah di ibu negara yang agak tinggi.
“Pada mulanya saya tidak sangka dapat membeli rumah di Kuala Lumpur kerana harganya yang mahal.
Tetapi apabila projek ini ditawarkan dengan harga yang jauh lebih rendah, saya cuba memohon dan Alhamdulillah berjaya,” katanya.
Bagi Pembantu Tadbir di Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pertahanan, Rahimatul Azlina Mat Yusoff, dia merancang untuk kembali menetap di kampung halaman di Kelantan dan tidak bercadang untuk memiliki rumah di Kuala Lumpur.
Namun, tawaran harga yang jauh lebih rendah berbanding harga pasaran mendorong dia mengubah keputusan.

“Saya rasa rugi kalau lepaskan peluang ini. Dengan harga sebegini dan lokasi di tengah bandar, memang jarang ada. Jadi saya putuskan untuk membeli dan menetap di sini,” katanya.
Ibu kepada tiga orang anak itu turut menggesa warga awam dan anggota yang berkhidmat di Kementerian Pertahanan agar tidak melepaskan peluang sekiranya projek perumahan seumpama ini ditawarkan.
“Walaupun rasa tidak berminat, ambillah peluang ini walaupun unit paling kecil. Sekurang-kurangnya ia menjadi aset. Projek seperti ini hanya ditawarkan khusus untuk membantu warga Kementerian Pertahanan,” katanya.





