SYDNEY: Akaun rakyat Australia yang berusia di bawah 16 tahun akan disekat daripada Facebook dan Instagram bermula 4 Disember depan, kata gergasi teknologi, Meta, hari ini.
Tindakan diambil ketika Canberra bersedia untuk menguatkuasakan undang-undang meluas bagi melarang remaja menggunakan media sosial.
Mulai 10 Disember depan, Australia akan memaksa platform media sosial termasuk Facebook, Instagram dan TikTok menyahaktifkan akaun pengguna berusia di bawah 16 tahun atau bakal berdepan denda yang tinggi.
Meta berkata, tindakan itu akan mula dilaksanakan di rangkaian platformnya sebelum larangan berkuat kuasa.
“Mulai hari ini, Meta akan memaklumkan pengguna Australia berumur 13 hingga 15 tahun bahawa mereka bakal kehilangan akses untuk melayari Instagram, Threads dan Facebook.
“Meta akan mula menyekat akaun baru bagi pengguna bawah 16 tahun dan menamatkan akses sedia ada mulai 4 Disember, dengan sasaran mengeluarkan semua pengguna bawah 16 tahun yang diketahui menjelang 10 Disember,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut statistik kerajaan, di Australia, terdapat kira-kira 350,000 pengguna Instagram berumur 13 hingga 15 tahun dan sekitar 150,000 akaun Facebook.
Meta sebelum ini sudah mula memberi amaran kepada pengguna yang terjejas bahawa akaun media sosial mereka akan disekat dalam masa terdekat.
“Tidak lama lagi, anda tidak boleh menggunakan Facebook dan profil anda tidak akan kelihatan sama ada untuk tatapan sendiri atau orang lain,”
“Apabila anda mencecah 16 tahun, kami akan beri pemakluman bahawa anda boleh mula menggunakan Facebook semula.” kata Meta menerusi mesej yang dihantar kepada pengguna terjejas.
Syarikat media sosial sebelum ini menyifatkan undang-undang itu sebagai kabur, bermasalah dan terburu-buru.
“Kami berkongsi matlamat Kerajaan Australia untuk mewujudkan pengalaman dalam talian yang selamat dan bersesuaian dengan umur.
“Bagaimanapun, memutuskan hubungan remaja daripada rakan dan masyarakat mereka, bukan jawapannya,” menurut Meta dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon, akan memperkenalkan rang undang-undang serupa untuk mengehadkan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak.
Dalam pada itu, kerajaan Belanda menasihati ibu bapa untuk melarang kanak-kanak di bawah 15 tahun menggunakan aplikasi media sosial seperti TikTok dan Snapchat.
Syarikat media sosial yang didapati melanggar undang-undang itu akan berdepan denda sehingga AUS$49.5 juta (RM133.2 juta), sekali gus menjadi antara larangan yang paling ketat di dunia.
Namun, beberapa pakar bimbang undang-undang itu hanya simbolik kerana kesukaran melaksanakan dan menguatkuasakan pengesahan umur dalam talian.
Sumber – AFP





