KUALA LUMPUR – Pelakon Eman Manan mengakui membesar dalam keluarga susah menjadikannya seorang individu yang tidak cerewet berkaitan pemakanan.
Eman atau Abdul Manan Embong, 66, berkata, kehidupan di kampung mendidiknya untuk lebih menghargai rezeki dan menikmati makanan dari sumber alam.
“Saya orang kampung dan bukan berasal dari keluarga yang kaya. Sampai sekarang saya makan yang murah-murah, bukan yang mahal.
“Makanan kampung segar, petik saja. Sejak dulu makan sehari dua kali. Pernah juga ikat perut tapi kami puas dengan apa yang ada.
“Contohnya kalau tiada juadah untuk minum petang, tak mengapa dan tidak mendesak keluarga,” katanya yang kurang mengambil makanan segera.
Ditanya tentang dirinya yang masih bertenaga pada usia lebih enam dekad, Eman berkata, ia bukan sahaja disebabkan faktor pemakanan, tetapi takdir Allah SWT.
“Bila bercakap tentang sihat, orang selalu cakap soal pemakanan, tetapi satu perkara asas yang tak boleh dilupai takdir.
“Sebenarnya makan perlu ikut keperluan badan. Ada masa makan banyak, tetapi kalau nak cadangkan untuk orang, saya tidak pandai.
“Kita juga kena ingat, nak sihat jangan cakap mengenai makanan sahaja tetapi tentang ‘membuang’. Ada orang makan dua tiga hari tapi tak ‘buang’” ujarnya.
Sumber – KOSMO! ONLINE