PETALING JAYA – Nyaris berpatah balik akibat kerosakkan kapal, pempengaruh dan penyanyi Hazwani Helmi mendedahkan sekali lagi berdepan detik mencemaskan apabila radio pengangkutan ke Gaza pula didakwa dipintas tentera Israel.
Katanya, perkara itu disedari apabila anak kapal Johnny M terdengar lagu Natural Mystic nyanyian Bob Marley dimainkan secara tiba-tiba menerusi radio, sekali gus dipercayai sebagai perang psikologi menggoyangkan semangat peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF).
“Mereka tengah buat perang psikologi tapi tiada siapa boleh melawan perlindungan Allah, Insya-Allah kita kekal Sumud,” tulisnya dalam hantaran Instagram.
Menerusi semakan, seni kata lagu penghibur legenda asal Jamaica itu mempunyai kaitan dengan semboyan kematian.
Sebelum ini, kakaknya iaitu penyanyi, Heliza Helmi memaklumkan kapal dinaiki mereka mengalami masalah teknikal dengan ketiadaan bekalan kuasa, air mahupun internet sehingga mereka dipindahkan berpindah ke kapal sementara.
Begitupun, malam tadi dua beradik yang juga antara 34 sukarelawan Malaysia dalam misi disertai lebih 50 kapal antarabangsa itu kini berjaya memasuki zon kuning.
Walau masih lagi berdepan masalah teknikal, mereka yang tertinggal jauh daripada konvoi lain dapat ‘mengejar’ fortilla lain untuk berada pada jarak 300 batu nautika dari Gaza, juga merupakan kawasan berisiko.
“Kami kini sudah memasuki zon kuning. Kapal yang kami naiki sebenarnya sudah banyak kali mengalami kerosakan sampailah semalam pengangkutan ini makin nazak.
“Sebenarnya beberapa hari kapal kami bergelap, tiada air, tiada wifi. Bayangan kapal kita gelap sepenuhnya, flotilla lain bagi lampu untuk elak bertembung, itu berlaku pada pukul 2 pagi semalam,” ujarnya.
Heliza turut memaklumkan berkata, konvoi misi kemanusiaan itu dijangka akan masuk ke kawasan zon merah Gaza pada Khamis ini
“Bismillah, alhamdulillah secara rasminya kita telah pun memasuki zon kuning. Insya-Allah khamis berkemungkinan masuk zon merah. Doakan,” katanya.
Sementara itu, tinjauan ‘Sumud Nusantara Flotilla Tracker’ pada tengah malam tadi mendapati sebanyak 43 kapal flotilla sudah memasuki zon kuning setakat ini.
Pelayaran GSF yang membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pada hujung bulan ini dengan penyertaan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah.
Semua sukarelawan Malaysia berada di bawah panji Sumud Nusantara, diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Sebelum ini kapal GSF berdepan peningkatan ancaman apabila beberapa kapal melaporkan disasarkan dan dijatuhkan objek tidak dikenali di atas serta berhampiran bot.
Sumber – KOSMO! ONLINE