KUALA LUMPUR: Penyanyi, Amir Masdi, mengakui amat mengagumi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Datuk Awie dan Ella yang selepas berpuluh tahun masih bertahan dalam dunia muzik tanah air.
Kata Amir Syazwan Masdi, pencapaian ketiga-tiga penyanyi itu telah menyuntik inspirasi kepadanya untuk terus berjuang dan bertahan dalam bidang itu.
“Saya kagum dengan mereka. Sudah berpuluh tahun dalam industri, tapi mereka masih bertahan.a
“Bukan mudah untuk kekal dalam industri muzik. Tetapi mereka ini bukan hanya bertahan, malah konsisten dan bertambah bagus.
“Lebih mengagumkan apabila ketiga-tiga penyanyi ini masih mampu menyanyi setiap lagu mereka dengan key asal secara live.
“Saya yang baharu sembilan tahun bergelar penyanyi ini sentiasa menjadikan mereka sebagai rujukan dan inspirasi,” kongsinya.
Amir berkata demikian selepas pengumuman lima pencalonan teratas Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) baru-baru ini.
Amir pada AIM24 tercalon dalam dua kategori iaitu Vokal Lelaki Terbaik dan Lagu Perpaduan Terbaik.
Penyanyi berusia 28 tahun ini meluahkan rasa syukur kerana buat pertama kali tercalon dalam anugerah berprestij berkenaan.
“Saya tidak jangka akan tercalon dalam kategori Vokal Lelaki Terbaik kerana pencalonan pun agak sengit.
“Saya anggap penyenaraian itu sebagai satu pencapaian kerana dalam ramai penyanyi lelaki, saya tercalon dalam kategori tersebut.
“Kalau ada rezeki menang, ia akan menjadi titik penting dalam karier saya,” kongsinya.
AIM24 bakal berlangsung di Arena of Stars, Genting Highland Pahang pada 13 September ini.
Sumber – UTUSAN