KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM89.8 bilion pada suku pertama 2025, satu pencapaian yang membuktikan daya tahan ekonomi dan daya tarikan negara sebagai destinasi pelaburan utama di sebalik ketidaktentuan global.
Menurut penganalisis ekonomi, jumlah yang menyaksikan peningkatan tahunan sebanyak 3.7 peratus itu, didorong oleh pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM60.4 bilion dan pelaburan langsung domestik (DDI) berjumlah RM29.4 bilion.
Pensyarah Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr. Muhammad Irwan Ariffin berkata, kejayaan itu dipacu oleh lokasi strategik, infrastruktur kukuh dan dasar mesra pelabur yang ditawarkan negara.
“Pelabur asing amat tertarik dengan tenaga kerja berkemahiran di Malaysia, persekitaran ekonomi yang stabil serta akses kepada pasaran utama Asia. Kebergantungan tinggi terhadap pelaburan asing ini mencerminkan keyakinan pelabur global terhadap prospek ekonomi jangka panjang Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Senada dengan pandangan itu, Ketua Ekonomi Global Juwai IQI, Shan Saeed, berkata keupayaan Malaysia memperoleh angka pelaburan yang tinggi di tengah-tengah suasana global tidak menentu mengesahkan kredibiliti negara sebagai destinasi pelaburan yang stabil dan berpotensi tinggi.
Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid, menekankan bahawa penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) pada Januari lalu menjadi antara pemacu utama.
“JS-SEZ telah menghasilkan pelaburan ketara dari Singapura berjumlah RM28.3 bilion, sekali gus melonjakkan Johor sebagai negeri yang merekodkan bahagian pelaburan diluluskan tertinggi. Ini mempamerkan potensi integrasi ekonomi serantau selain mencetuskan kesan limpahan, terutamanya dalam industri pembinaan dan pusat data,” jelasnya.
Mengulas mengenai prospek masa depan, Dr. Muhammad Irwan berkata, sektor seperti teknologi dan ekonomi digital, tenaga boleh baharu, elektronik, penjagaan kesihatan serta logistik dijangka menjadi pemacu pelaburan berterusan.
Bagaimanapun, para penganalisis turut mengingatkan tentang cabaran sedia ada, terutamanya geseran perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta ketidaktentuan rundingan tarif AS yang boleh menjejaskan sentimen perniagaan.
“Meletakkan kedudukan Malaysia sebagai hab ASEAN yang neutral dan cekap akan menjadi pemangkin utama bagi mengharungi ketidaktentuan ini. Prospek bagi separuh kedua 2025 kelihatan semakin mencabar sementara dunia menanti hasil rundingan tarif tersebut,” kata Shan Saeed.
Sumber – Bernama





