Thursday, April 23, 2026
HomeHIBURANTayangan Awal Khas Ejen Ali Untuk Peminat Tegar

Tayangan Awal Khas Ejen Ali Untuk Peminat Tegar

KUALA LUMPUR: Berita baik untuk peminat Ejen Ali, sesi tayangan awal khas filem Ejen Ali The Movie 2 bakal berlangsung serentak di sembilan lokasi pawagam GSC terpilih di Kuala Lumpur, Setia Alam, Putrajaya, Melaka, Alor Setar dan Kuantan pada 18 Mei ini, jam 11 pagi.

Sesi tayangan khas ini memberi peluang kepada peminat tegar untuk menjadi penonton pertama di Malaysia menyaksikan filem animasi tempatan yang paling dinantikan ini.

Usaha menganjurkan sesi tayangan khas ini dijayakan melalui kerjasama WAU Animation, Primeworks Studios (PWS) dan Golden Screen Cinemas (GSC) yang terus komited dalam meraikan karya animasi tempatan di layar perak.

Dengan hanya RM40, setiap pembelian tiket untuk tayangan ini akan disertakan dengan satu tiket filem, lencana butang eksklusif Ejen Ali The Movie 2 serta satu set kombo popcorn saiz sederhana.

Sesi tayangan khas filem Ejen Ali The Movie 2 akan dianjurkan di GSC Mid Valley Megamall; GSC KL East Mall dan GSC MyTOWN, Kuala Lumpur.

Tontonan awal juga akan berlangsung di GSC Setia City Mall, Setia Alam dan GSC IOI City Mall, Putrajaya.

Turut disenaraikan GSC AEON Bandaraya Melaka; GSC Aman Central, Alor Setar, Kedah dan GSC East Coast Mall, Kuantan, Pahang.

Lebih istimewa, peminat juga boleh memilih untuk menonton Ejen Ali The Movie 2 dalam suasana premium di Aurum Theatre, The Exchange TRX.

Pawagam ini menawarkan dua slot tayangan khas iaitu pada jam 11 pagi dan 1.30 petang.

Sesi tayangan di Aurum Theatre turut dimeriahkan dengan penampilan maskot Ejen Ali dan barisan pelakon suara, menjadikannya pengalaman menonton yang bukan sahaja eksklusif, malah, penuh interaksi bersama dunia Ejen Ali.

Ketika pertama kali dipertontonkan di pawagam pada 2019, Ejen Ali The Movie dilapor merekodkan jualan tiket RM30 juta dalam tempoh tujuh minggu tayangan.

Selepas menanti hampir lima tahun, naskhah sekuel iaitu Ejen Ali The Movie 2 bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara, mulai 22 Mei ini.

Sekuel kali ini mengisahkan pengembaraan epik Ejen Ali, iaitu wira muda yang menawan hati jutaan peminat menerusi siri televisyen (TV) dan filem pertamanya.

Cerita berkisar pelajar bernama Ali yang secara tidak sengaja terbabit dalam dunia perisikan, lalu menjadi ejen muda agensi rahsia MATA yang berjuang mempertahankan Cyberaya, iaitu bandar futuristik penuh rahsia dan ancaman.

Sejak diperkenalkan pada 2016, Ejen Ali berkembang menjadi fenomena dengan tiga musim siri animasi dan sebuah filem sulung yang ditayangkan pada 2019.

Kisah bermula apabila Ali secara tidak sengaja mengaktifkan IRIS, iaitu alat perisikan berteknologi tinggi milik MATA ketika dalam perjalanan ke sekolah.

Dibantu Ejen Bakar dan Ejen Alicia, Ali berdepan ancaman penjahat berdendam, Uno.

Dalam musim kedua, Ali melangkah ke Akademi MATA untuk menjalani latihan bersama ejen muda lain.

Pada peringkat ini, nilai persahabatan dan kerjasama diuji apabila kumpulan penjahat Numeros kembali menggugat keselamatan MATA.

Filem pertama Ejen Ali menyaksikan konflik dalaman Ali apabila kewujudan IRIS Neo menggugat peranannya sebagai pengendali tunggal IRIS.

Ketegangan memuncak apabila individu misteri bernama Niki mendedahkan rahsia Pinggiran Cyberaya.

Ini memaksa Ali membuat pilihan antara kesetiaan terhadap MATA atau memperjuangkan nasib golongan yang tersisih.

Musim ketiga pula memperlihatkan usaha Ali untuk memulihkan kepercayaan agensi selepas dihukum akibat tindakannya bersama Niki.

Ali menyertai pertandingan Arena MATA yang penuh cabaran, tanpa menyedari pertandingan itu menentukan pengendali IRIS baharu.

Pertarungan kali ini menjadi lebih peribadi apabila Ali mendapati ibunya, Aliya, adalah pencipta asal IRIS dan pada masa sama, perlu berdepan dengan ancaman baharu daripada Cinco dan sekutunya.

Sumbver – Kosmo! Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Saya Selektif Pada Watak, Bukan Memilih Individu’ – Azira Shafinaz

0
BERTAPAK sebagai anak seni hampir dua dekad, bermacam-macam watak pernah diterajui Azira Shafinaz sebagai seorang pelakon. Tidak keterlaluan sekiranya mengatakan hampir semua karakter dipegangnya dilakukan...

CATEGORIES