Saturday, June 27, 2026
HomeBERITAWWF-Malaysia Gesa Bina Bonggol Jalan Di Kawasan Lintasan Hidupan Liar

WWF-Malaysia Gesa Bina Bonggol Jalan Di Kawasan Lintasan Hidupan Liar

KUALA LUMPUR: Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia menggesa tindakan segera dan nyata diambil bagi mengelak lebih banyak kematian hidupan liar, termasuk membina bonggol jalan di lokasi persimpangan utama haiwan melintas.

Menurut WWF-Malaysia, langkah itu dilihat sebagai intervensi kritikal yang mampu memaksa pemandu memperlahankan kenderaan serta menyelamatkan banyak nyawa selain meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

Gesaan itu susulan kejadian menyayat hati pada sambutan Hari Ibu semalam di Lebuhraya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Perak, apabila seekor gajah betina dilihat meratapi kematian anaknya akibat dilanggar sebuah lori.

“Tragedi ini bukan kejadian terpencil. Ia mencerminkan keperluan mendesak untuk menambah baik langkah perlindungan hidupan liar di sepanjang lebuh raya tersebut, yang dikenali sebagai kawasan panas laluan lintasan haiwan,” kata WWF-Malaysia dalam kenyataan.

Menurutnya papan tanda amaran sedia ada tidak mencukupi dan tidak memberi kesan signifikan dalam menurunkan kadar kemalangan melibatkan haiwan.

WWF-Malaysia turut menegaskan keperluan mendesak untuk menyediakan lintasan hidupan liar serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemandu di laluan berkenaan.

Katanya, jalan raya berkenaan merentasi kawasan habitat kritikal seperti Taman Negeri Royal Belum dan Hutan Simpan Temengor, menjadikannya zon konflik antara pembangunan dan habitat haiwan liar.

Dalam pada itu, WWF-Malaysia memuji usaha Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak dalam membangunkan Santuari Gajah Perak yang dijangka siap menjelang 2029.

Menurut pertubuhan itu, santuari tersebut akan menyediakan habitat lebih selamat kepada gajah selain berupaya mengurangkan konflik manusia-haiwan, namun menegaskan langkah jangka pendek juga perlu dilaksanakan segera.

Sejak 2023, enam ekor harimau dilaporkan mati akibat dilanggar kenderaan di negara ini, termasuk dua kes dalam tempoh dua bulan di lebuh raya yang sama – satu statistik yang membimbangkan.

“Kita perlukan lebih daripada sekadar papan tanda amaran. Kita perlukan jejambat dan laluan bawah tanah khas untuk haiwan, bonggol jalan serta infrastruktur yang dapat memperlahankan trafik,” katanya.

WWF-Malaysia turut mengingatkan semua pengguna Lebuhraya Gerik-Jeli supaya sentiasa berwaspada terhadap haiwan melintas kerana mereka sebenarnya sedang melalui kawasan habitat hidupan liar.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Batik Air Perkukuh Rangkaian Asia dengan Pelancaran Laluan Kuala Lumpur–Shanghai

0
KUALA LUMPUR, 24 JUN 2026 – Batik Air terus mengukuhkan kehadirannya di China dengan pelancaran perkhidmatan terus baharu antara Kuala Lumpur dan Shanghai, sekali...

CATEGORIES