“Ini kerana dalam persembahan konsert berskala besar pastinya orang sanggup membeli tiket itu walaupun harga mahal kerana mereka ingin dihiburkan dengan lagu disukai.
“Ditambah, masing-masing sudah berduit dan soal harga tidak begitu diambil kira. Ia tidak sama macam di era 1990-an dulu, di mana orang nak beli tiket konsert harga RM50 pun tak mampu,” katanya.
Menurut Norman, dia dan adik-adiknya bersyukur tiket Konsert GENKRU mula dijual pada Disember tahun lalu licin dibeli peminat dalam tempoh sejam.
Susulan sambutan hangat diterima, penganjur iaitu Icon Entertainment terpaksa menambah satu malam lagi untuk konsert istimewa KRU itu yang diadakan pada 10 Mei di ‘venue’ sama.
Penyanyi muda perlu masa
Mengulas pandangan segelintir pihak mendakwa penyanyi muda ‘kurang laku’ walaupun popular di media sosial, Yusry berkata, perjalanan karier penggiat seni umpama roda dan perlukan masa.
“Kalau nak kata penyanyi muda sekarang ‘kurang laku’, dakwaan itu tidak benar. Sebabnya, mereka perlukan masa lagi untuk tunggu peminat masing-masing membesar dan ada kerjaya. Pada ketika ini, peminat mereka masih kecil dan bersekolah.
“Situasi ini sama macam yang pernah dilalui KRU dulu. Jadi, dalam tempoh 10 tahun atau 20 tahun nanti, kita akan dapat tengok perubahannya. Tiket konsert mereka pula yang laris.
‘Bagi KRU, pada masa ini kebanyakan peminat kami golongan berusia lewat 30-an hingga 50-an yang matang. Mereka ini juga sudah ada kerjaya yang baik termasuk pendapatan bagus,” katanya.
Ujar Yusry lagi, apa yang pasti KRU tekad menampilkan persembahan terbaik mereka dalam Konsert GENKRU sebagai tanda penghargaan kepada peminat setia.
Debaran tak pernah hilang
Berbicara juga soal debaran, Edry pula berkata, dia memang ada rasa berdebar setiap kali KRU naik ke pentas untuk membuat persembahan. Apatah lagi, KRU sudah hampir tujuh tahun menyepi.
“Kali terakhir kami buat konsert seingat saya pada 2018 di Istana Budaya untuk Konsert GenerasiKRU25. Tapi, kali ini rasanya lebih mencabar lagi sebab konsert dibuat tiga malam.
“Apapun, untuk Konsert GENKRU itu kami akan nyanyikan ‘list’ lagu sama kerana penganjur juga tidak izinkan ia ditukar untuk ketiga-tiga malam konsert.
“KRU kena kekal nyanyikan lagu sama bagi mengelak kemarahan peminat. Ini kerana ada peminat sanggup beli tiket untuk tiga malam dan kami amat hargai,” katanya.
Edry berkata, KRU bagaimanapun mungkin melakukan gimik namun tidak keterlaluan seperti cuba sampaikan skrip berbeza agar penonton konsert tidak rasa bosan.
Bagi album Kaset pula, antara lagu dimuatkan seperti Hambadansa, One More Time, Remaja Selamanya, GOAT, Selamat Hari Lahir, Voodoo, Sampai Sini Saja, High Maintenance, Ciptaan Sempurna dan Agung.
Sebelum ini, kali terakhir KRU muncul dengan album studio pada 2013 iaitu Krunomena dan selepas 12 tahun ‘berehat’, ini masa sesuai untuk pertaruhkan album terbaharu, Kaset.
Sumber – Harian Metro