Isteri Minta Bantuan Rakaman Dashcam, Saksi Lihat Arwah Suami Dilanggar

0
747

PUTRAJAYA: “Saya merayu kepada sesiapa yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka berkaitan kemalangan maut di Jalan Labohan Dagang-Nilai pada 11 Jun lalu supaya tampil memberikan maklumat kepada polis,” kata Nurul Izzati Zul, 33, isteri kepada mangsa langgar lari tersebut.

Izzati, dari Bangi, menjelaskan bahawa suaminya, Muzhaffar Omar, 35, dilanggar oleh sebuah lori yang membawa muatan sawit ketika menaiki motosikal dalam perjalanan pulang. Beliau meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Menurutnya, beliau telah hadir di balai polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin untuk mendapatkan salinan laporan kemalangan bagi tuntutan PERKESO. Beliau merasa kesal apabila mendapati laporan yang dibuat oleh pemandu lori tersebut tidak sama dengan kenyataan saksi kejadian.

Katanya, beliau ingin mengetahui kejadian sebenar dan memerlukan rakaman ‘dashcam’ untuk membantu siasatan serta memberi keadilan kepada arwah suaminya.

“Saya bingung kerana pihak polis memerlukan bukti rakaman ‘dashcam’ dan saya tidak mampu untuk membayar kos peguam bagi membawa kes ini ke mahkamah,” tulisnya di Facebook.

Pada 11 Jun lalu, arwah Muzhaffar terlibat dalam kemalangan di Jalan Labohan Dagang-Nilai sekitar jam 3.50 petang ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

Arwah, yang meninggalkan dua orang anak, telah dikebumikan keesokan harinya selepas bedah siasat di hospital. Jenazahnya dikebumikan di kampung halamannya di Felda Sungai Klah, Sungkai, Perak.

Izzati berkata bahawa saksi kejadian sebelum ini telah berkongsi maklumat. Menurut saksi tersebut, mereka melihat arwah dilanggar dan pemandu lori melarikan diri kerana bimbang dipukul oleh orang ramai.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here