Pemain Badminton China Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung

0
738

YOGYAKARTA, Indonesia: Pemain badminton remaja China, Zhang Zhi Jie, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung semasa bertanding dalam Kejohanan Badminton Remaja Asia di sini, kelmarin.

Tragedi ini berlaku ketika perlawanan antara China dan Jepun dalam aksi Kumpulan D di GOR Among Raga.

Zhi Jie, 17 tahun, sedang berhadapan dengan Kazuma Kawano ketika dia tiba-tiba rebah tertiarap dalam perlawanan yang berlangsung petang kelmarin.

Pasukan perubatan kejohanan segera memberikan bantuan kecemasan sebelum pemain itu dikejarkan ke hospital.

Namun, Zhi Jie disahkan meninggal dunia pada jam 11.20 malam kelmarin waktu tempatan.

“Laporan perubatan menunjukkan pemain itu mengalami serangan jantung,” kata jurucakap Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI), Broto Happy, dalam sidang media di Yogyakarta.

Zhi Jie mula bermain badminton sejak tadika dan menyertai skuad remaja China tahun lalu.

Pada awal tahun ini, dia berjaya menjuarai Kejohanan Remaja Antarabangsa Belanda, sebuah kejohanan berprestij bagi peringkat remaja.

Dalam satu kenyataan, Persatuan Badminton China (CBA) menyatakan mereka sangat berdukacita atas kehilangan pemain berbakat seperti Zhi Jie.

“Zhang Zhi Jie sangat meminati badminton dan merupakan pemain terbaik dalam skuad remaja kebangsaan China,” kata CBA dalam kenyataannya.

Sementara itu, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) juga menyatakan rasa sedih atas kehilangan bakat badminton yang sedang meningkat naik, Zhi Jie.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga, rakan sepasukannya, Persatuan Badminton China, dan seluruh komuniti badminton di China,” kata BWF dalam satu kenyataan. – AFP

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here