KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menaikkan penanda aras lebihan simpanan bermula tahun hadapan bagi memberi lebih fleksibiliti kepada ahli dalam merancang persaraan.
Bermula tahun hadapan, lebihan simpanan akan ditakrifkan sebagai melebihi RM1.1 juta.
Ahli dibenarkan membuat pengeluaran apabila jumlah simpanan melepasi paras baharu iaitu RM1.1 juta pada 2026, RM1.2 juta pada 2027 dan RM1.3 juta pada 2028, berbanding penanda aras semasa sebanyak RM1 juta.
Langkah itu selaras dengan usaha KWSP menyesuaikan fleksibiliti persaraan dengan jangka hayat lebih panjang dan peningkatan kos sara hidup, di samping memastikan ahli mengekalkan simpanan mencukupi untuk tahun persaraan.
KWSP menjelaskan kesediaan rakyat menghadapi persaraan semakin baik, dipacu peningkatan konsisten dalam caruman sukarela dan tambahan melebihi kadar statutori.
Menerusi kerangka baharu Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) tiga peringkat, penanda aras simpanan asas untuk ahli berusia 60 tahun akan meningkat secara berperingkat kepada RM290,000 pada 2026, RM340,000 pada 2027 dan RM390,000 pada 2028.
Setakat tahun lalu, 37 peratus ahli aktif dalam sektor formal sudah mencapai penanda aras simpanan asas, meningkat daripada 30 peratus pada 2022. Bagi kumpulan umur 51 hingga 55 tahun, jumlah itu naik kepada 42 peratus berbanding 36 peratus dua tahun lalu.
Bagi kumpulan kritikal 50 hingga 54 tahun, simpanan purata meningkat daripada RM265,788 pada 2022 kepada RM308,644 pada 2024, menunjukkan pertumbuhan positif menjelang persaraan.
Penambahbaikan itu turut didorong penyusunan semula pada Mei 2024 apabila kadar caruman ke Akaun Persaraan dinaikkan kepada 75 peratus daripada 70 peratus, sekali gus memperkukuh disiplin simpanan jangka panjang.
Dalam masa sama, caruman sukarela melonjak 62 peratus pada 2024 dengan pertumbuhan keahlian aktif melebihi kadar pertumbuhan tenaga kerja, mencerminkan peningkatan kesedaran persaraan dalam kalangan pekerja sektor formal dan tidak formal.
Ahli Ekonomi, Dr Azmi Hassan dari Nusantara Academy for Strategic Research, berkata peningkatan caruman sukarela mencerminkan kesedaran semakin tinggi rakyat Malaysia terhadap keperluan merancang persaraan lebih awal.
Katanya, 42 peratus ahli KWSP berusia 51 hingga 55 tahun kini sudah mencapai penanda aras simpanan asas, naik daripada 36 peratus dua tahun lalu, sekali gus menunjukkan perubahan tingkah laku yang positif.
Walaupun paras simpanan asas yang akan meningkat daripada RM240,000 kepada RM390,000 pada 2028 mungkin belum cukup bagi persaraan selesa sepenuhnya, peningkatan itu menunjukkan perkembangan memberangsangkan hasil caruman tambahan.
Beliau menegaskan paras baharu itu mengambil kira faktor jangka hayat lebih panjang serta kos sara hidup yang semakin meningkat.
Menurutnya, cadangan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 untuk menstrukturkan semula pengeluaran KWSP kepada bentuk bayaran bulanan seperti pencen amat penting kerana ia mewujudkan disiplin, ketelusan dan kelestarian jangka panjang.
Kaedah bayaran bulanan itu juga mengurangkan risiko ahli menghabiskan simpanan terlalu cepat dan memastikan pendapatan lebih stabil sepanjang usia persaraan.
Sumber – Berita Harian