PARIS: Kurang setahun lalu, Ousmane Dembele digugurkan Luis Enrique daripada skuad Paris Saint-Germain (PSG) ketika bertemu Arsenal dalam Liga Juara-Juara.
Hubungan kedua-duanya tegang selepas berlaku salah faham dan Enrique memilih meninggalkan penyerang itu di Paris.
“Jika tidak patuh jangkaan pasukan, bermakna belum bersedia bermain,” kata Enrique, sambil menegaskan masa depan Dembele masih terbuka.
Daripada pemain tersisih, Dembele bangkit menjadi tonggak utama sebagai penyerang tengah.
Walaupun tewas kepada Arsenal pada Oktober, PSG bangkit pada April di separuh akhir.
Dembele menjaringkan gol tunggal perlawanan dan menutup musim 2024/2025 dengan 35 gol serta 16 bantuan jaringan, sekali gus membantu PSG meraih treble termasuk Liga Juara-Juara pertama.
Kemenangan 5-0 ke atas Inter Milan di Munich menjadi titik kemuncak apabila Enrique sendiri memuji anak buahnya.
“Saya akan beri Ballon d’Or kepada Ousmane Dembele. Cara dia bertahan, menekan lawan, memimpin pasukan, semuanya layak untuk Ballon d’Or,” kata Enrique.
Bagi anak kelahiran Vernon berketurunan Mauritania-Senegal dan Mali ini, ia melengkapkan perjalanan panjang kariernya.
Dembele bermula di Rennes, berpindah ke Borussia Dortmund pada usia 19 tahun, sebelum menjadi pemain kedua termahal dunia apabila menyertai Barcelona dengan nilai 135.5 juta pound (RM769 juta).
Namun, di Barcelona dia pernah menjadi pemain paling banyak dikenakan denda kerana masalah disiplin, selain dibelenggu 14 kecederaan otot yang memaksanya berehat hampir 800 hari.
Perkahwinan pada 2021 dan status sebagai bapa mengubah hidupnya.
Dia mula mengambil pakar pemakanan, tukang masak dan fisioterapi peribadi bagi menjaga tahap profesionalisme.
Kehilangan Kylian Mbappe ke Real Madrid pada 2024 membuka jalan untuknya menyerlah, manakala hukuman Enrique pada awal musim menjadi titik kebangkitan.
Kini pada usia 28 tahun, Dembele menunaikan potensi sebenar dengan deretan gelaran besar, termasuk Ballon d’Or, sekali gus melengkapkan transformasi daripada ‘budak nakal’ kepada pemain terbaik dunia.
Sumber – AGENSI