HANGZHOU, 28 Oktober- Hasrat atlet olahraga para negara Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi untuk melakar kenangan manis pada penampilan terakhirnya di Sukan Para Asia tidak kesampaian apabila terlepas peluang mempertahankan pingat emas acara 100 meter (m) lelaki T36 pagi tadi.
Pada aksi final berlangsung di Stadium Pusat Sukan Huanglong, atlet berusia 36 tahun itu dibatalkan penyertaan berikutan kesalahan ‘false start’ sekali gus menggugat peluang sekurang-kurangnya meraih kedudukan podium.
Terdahulu, juara Sukan Paralimpik Rio 2016 itu berada di laluan enam, diapit kiri dan kanan seteru utama dari China yang juga atlet pilihan tuan rumah, Deng Peicheng dan Yang Yifei.
Peicheng mengungguli saingan di tempat pertama dengan catatan 11.80 saat (s) manakala Yifei di tempat kedua dengan 12.15s dan wakil Jepun Takeru Matsumoto yang merekodkan 12.38s mengakhiri saingan di tempat ketiga.
Tersingkir daripada saingan, ia bermakna atlet dari Perlis itu dengan tangan kosong selepas turut gagal mempertahankan emas acara lompat jauh T36 yang berlangsung pada Selasa lepas.
Beliau sekadar menamatkan acara lompat jauh itu di kedudukan keenam.
Ridzuan atau lebih mesra dengan panggila Dekwan mempunyai catatan terbaik peribadi 11.87 dalam acara 100m, yang dicatatkan pada Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, dan 5.49m dalam lompat jauh.
Selain kejayaan di Indonesia, beliau juga pernah beraksi di Sukan Para Asia Incheon 2014 yang menyaksikannya menang emas dalam acara lompat jauh dan dua perak dalam acara 100m dan 200m.
Untuk rekod, Hangzhou 2022 merupakan penampilan terakhir Dekwan dalam temasya empat tahun sekali itu.
Sementara itu dalam satu lagi acara yang berlangsung hari ini iaitu 1,500m lelaki T38, wakil negara Muhammad Faiz Haizat Rosdi turut terlepas menaiki podium apabila sekadar menamatkan saingan di kedudukan keempat.
Emas acara itu diungguli atlet India, Raman Sharma manakala perak diraih Timor Leste menerusi Teofilo Freitas manakala Takumi Igusa, gangsa.





