Kuala Lumpur, 5 Mac 2026 – Amanah Raya Berhad (AmanahRaya), bersama anak-anak syarikatnya dan Yayasan AmanahRaya, dengan kerjasama Intermark Mall (diuruskan oleh Pavilion REIT), hari ini menganjurkan program iftar Ramadan “AmanahRaya Love & Care: Kasih Seikhlas Hati” yang menghimpunkan kira-kira 200 peserta terdiri daripada anak-anak yatim, petugas barisan hadapan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, serta sukarelawan warga AmanahRaya.

Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan AmanahRaya dalam menyantuni komuniti melalui penglibatan dan sumbangan bermakna, selaras dengan peranannya sebagai Pemegang Amanah Awam Tunggal di Malaysia.
Jack Yap Ngee Heong, Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Perniagaan dan Operasi Kumpulan, Amanah Raya Berhad, berkata, “Komitmen kami dalam menunaikan amanah sebagai Pemegang Amanah Awam Tunggal di Malaysia bukan sahaja dizahirkan melalui penyediaan perkhidmatan perancangan pewarisan yang menyeluruh, malah turut terserlah menerusi penglibatan dan sokongan kami kepada komuniti. Pada bulan Ramadan ini, kami bersyukur kerana diberi peluang untuk berkongsi keceriaan dan kegembiraan bersama anak-anak ini menjelang sambutan Hari Raya.”

Di samping itu, AmanahRaya turut melancarkan Kempen Bina Legasi yang berskala nasional, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan perancangan harta. Sepanjang tempoh kempen dari 1 Mac hingga 30 April 2026, cawangan AmanahRaya di seluruh negara akan menganjurkan program Hari Terbuka dan aktiviti-aktiviti lain bagi memudahkan masyarakat untuk mendapatkan instrumen perancangan pewarisan, dengan harga mampu milik. Kempen ini turut memperkenalkan pakej menarik bagi menggalakkan penyertaan yang lebih meluas.
Sebagai Pemegang Amanah Awam Tunggal di Malaysia, AmanahRaya terus menyumbang ke arah memperkukuh kesejahteraan masyarakat, salah satunya menerusi aktiviti tanggungjawab sosial kepada komuniti di samping meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan dalam kalangan rakyat Malaysia menerusi produk dan perkhidmatannya.





