Tuesday, October 6, 2026
HomeHIBURANWani Kayrie Wakili Malaysia Di ABU Song Festival Ke-15 Di Sri Lanka

Wani Kayrie Wakili Malaysia Di ABU Song Festival Ke-15 Di Sri Lanka

KUALA LUMPUR – Penyanyi Wani Kayrie menggalas amanah besar apabila diberi kepercayaan untuk mewakili Malaysia di ABU Song Festival ke-15 yang bakal berlangsung di Colombo, Sri Lanka, pada 2 November ini.

Wani Kayrie share video kepada peminatnya tentang jemputan yang dia dapat di ABU SONG FESTIVAL – IG wanie Kayrie

Lebih membanggakan, Wani, 26, menjadi satu-satunya artis yang dipilih RTM untuk membawa nama Malaysia pada festival berkenaan, sekali gus menyifatkan peluang itu sebagai penghargaan terhadap perjalanan seni yang dilaluinya.

Wani yang akan mempersembahkan lagu Cak Cak Cekuk berkata, dia tidak menyangka diberikan kepercayaan untuk mewakili negara di festival berkenaan.

“Saya semestinya tak sangka sebab diberikan kepercayaan oleh RTM untuk menjadi satu-satunya artis mewakili Malaysia tahun ini.

“Seperti yang kita tahu, festival ini diadakan setiap tahun di negara yang berbeza. Antara kelayakan untuk seseorang artis dihantar mewakili negara adalah berdasarkan pencapaian dan kejayaan yang diraih pada tahun tertentu.

“Jadi, saya rasa mungkin untuk tahun ini RTM melihat saya sebagai antara calon yang sesuai untuk dihantar mewakili Malaysia.

“Saya anggap ini sebagai satu peluang dan kepercayaan yang sangat besar diberikan kepada saya,” katanya.

Wani atau nama sebenarnya, Syazwani Abdullah, berkata pemilihan Cak Cak Cekuk dibuat berdasarkan kejayaan lagu itu selain mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Setakat ini, lagu yang dipilih adalah Cak Cak Cekuk. Lagu ini mungkin dipilih kerana baru-baru ini saya selesai membuat persembahan di Anugerah Juara Lagu (AJL) dan mungkin kerana itu juga RTM melihat potensi serta kriteria yang sesuai untuk saya dipersembahkan di pentas ABU Song Festival tahun ini di Sri Lanka.

“Kita tahu Sri Lanka sendiri mempunyai muzik yang sangat hebat, begitu juga penggunaan instrumen mereka. Jadi, saya rasa lagu Cak Cak Cekuk ini sesuai kerana mengetengahkan elemen tradisional dan moden.

“Mungkin elemen tersebut menepati kriteria yang diperlukan untuk ABU Song Festival di Sri Lanka pada tahun ini,” katanya.

Menurut Wani, tanggungjawab mewakili negara bukan sekadar memberikan persembahan terbaik, sebaliknya turut membawa imej serta identiti budaya Malaysia ke pentas antarabangsa.

“Apabila kita mewakili Malaysia, saya bertanggungjawab membawakan lagu yang cukup kuat dari segi harmoni dan melodi, selain mengetengahkan elemen tradisional serta moden Malaysia.

“Jadi, ia lebih kepada usaha untuk membawa imej serta keseluruhan konsep tradisi dan budaya Malaysia.

“Saya rasa tanggungjawab ini sangat besar untuk saya memberikan yang terbaik dari segi keseluruhan penampilan dan konsep yang akan ditunjukkan kepada negara luar, khususnya negara ASEAN yang terbabit.

“Pada masa sama, saya juga membawa nama dan mewakili penggiat seni dari negara-negara ASEAN yang terbabit dalam festival ini,” katanya.

Mengulas persiapan persembahan, Wani mengakui terdapat cabaran untuk menampilkan persembahan yang cukup besar dan pada masa sama mengekalkan identiti muzik Malaysia.

Katanya, idea untuk menggunakan ramai penari bagi memeriahkan persembahan juga menjadi antara perkara yang sedang dipertimbangkan, namun dia mahu memastikan elemen yang diketengahkan benar-benar sesuai dengan konsep lagu.

“Apa yang boleh saya tampilkan dalam persembahan kali ini, semestinya akan ada kelainan dan bagi saya, cabaran terbesar adalah untuk membawa imej dan juga bunyi muzik Malaysia.

“Namun, bagi saya, lagu Cak Cak Cekuk ini mempunyai kelebihan dan identiti tersendiri.

“Insya-Allah, saya rasa apabila orang kali pertama mendengarkan lagu ini pun, mereka akan tahu bahawa ini adalah muzik Malaysia.

“Semestinya dari segi busana juga, kita perlu menampilkan pakaian yang menghormati serta melambangkan budaya Malaysia yang penuh dengan kesepaduan dan keharmonian.

“Selebihnya, saya cuma mengharapkan yang terbaik dan semoga semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.

Terdahulu, Wani berkongsi berita mengenai pemilihannya sebagai wakil Malaysia di ABU Song Festival menerusi laman sosial Instagram miliknya, semalam.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Changi Kekal No. 1, Ini 5 Lapangan Terbang Terbaik Dunia

0
Bagi yang gemar melancong, lapangan terbang bukan sekadar tempat untuk berlepas dan mendarat, malah pengalaman di dalamnya turut menjadi sebahagian daripada perjalanan. Terbaharu, Skytrax World...

CATEGORIES