“Sepatutnya hari ini saya bersalin… tapi takdir memberi saya peluang menjejak pentas konvokesyen!”
Demikian kongsi, pelakon dan penyanyi, Yana Samsudin selepas selesai istiadat konvokesyen untuk pengajian sarjananya.
Yana atau nama penuhnya Norliana Samsudin, 41, berkongsi detik bermakna dan menitipkan kesyukuran pembelajarannya di UMPSA Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berakhir dengan manis.
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23 itu mendedahkan, walau sedang berpantang di hari yang ke-30 selepas melahirkan anak ketiga tidak menghalang dirinya hadir menerima skrol Ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Korporat.
“Saya berharap kehadiran ini akan menjadi kenangan manis bukan saja buat diri saya tetapi juga anak dan suami suatu hari nanti.
“Sepatutnya tarikh hari ini merupakan tarikh bersalin namun ditakdirkan saya melahirkan lebih awal dan membuka peluang naik ke pentas konvokesyen dengan memakai jubah ini,” ujarnya ditemui di lobi dewan.
Sedang berpantang hari yang ke-30, wanita itu tidak lupa menzahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada suami, Fadzil Azhari yang setia berada di sisi memberi sokongan.
Sepanjang mengikuti pengajian, Yana perlu bijak membahagikan masa antara dunia seni, perniagaan dan anak-anak masih kecil yang pastinya bukan perjalanan yang mudah.
Menghargai sokongan suami dan keluarga sepanjang pengajian, Yana mengakui merekalah yang memberi semangat dan mengubah segala kepayahan kepada kejayaan.
“Terima kasih buat suami yang banyak membantu dan keluarga yang sentiasa menyokong,” tambahnya.
Yana terdahulu menerima ijazah sarjana daripada Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof Dr Yatimah Alias, pada Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan UMPSA di sini, bagi sesi kelima.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Layar Universiti Teknologi MARA (UiTM) 2009 itu menasihati wanita di luar sana dan para pelajar supaya tetap bersemangat dan tidak putus asa dalam mengejar cita-cita.
Usaha gigih bukan sahaja memberi kepuasan diri, malah membuka peluang untuk meningkatkan kerjaya walaupun berdepan cabaran era teknologi yang semakin mencabar.
Sekadar info, Yana mendirikan rumah tangga dengan Fadzil Zahari pada 13 Februari 2015. Mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Aisy Mateen, Aura Aisy Sofea, Aisy Hakeem dan si kecil yang baru lahir.
Sumber – Sinar Plus





