Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi, Ayda Jebat yang kini sedang hamil lebih tujuh bulan berkongsi rasa tidak selesa apabila perutnya disentuh oleh individu-individu tidak dikenali saat bergambar.
Dalam hantaran terbaharunya di Instagram, Ayda berkongsi mengenai situasi yang membuatkannya rasa tidak selesa.
“Mommies (ibu-ibu). Mommies selesa tak kalau tengah mengandung, orang tiba-tiba kat luar pegang-pegang perut mommies?
“Saya minta maaf. Saya okay saja kalau nak ‘selfie’ pegang bahu ke, tangan saya, itu dah biasa. Tapi tengah mengandung ini, sensitif dia lain sikit bila kakak-kakak atau makcik-makcik jumpa, terus pegang raba-raba perut kita,” tulisnya.
Tambah Ayda, dia tidak tergamak untuk menegur individu-individu itu yang ada dalam kalangan mereka, terdiri daripada orang yang lebih berusia.
“Nak tegur, tapi tak terkeluar pula kata-kata. Faham kadang-kadang makcik teruja. Tapi, harap faham situasi kita dan terima kasih atas doa yang baik untuk saya dan bayi. Itu sudah memadai.
“Ada yang sambil pegang, sambil ‘acik kalau kuis macam ini saja dulu, bayi dah tendang. Kejap, tunggu anak Ayda tendang tak’. Saya muka dah petak.
“Kalian rasa bagaimana ya?” tulisnya.
Ayda dijangka bakal bersalin anak keduanya pada Disember ini.
Sumber: Harian Metro