KUALA LUMPUR: Meerqeen mengakui serasi digandingkan dengan Qasrina Karim dalam drama Thariq Ridzuwan: His Treasure.
Bagaimanapun, Meerqeen menafikan mereka terjebak dengan cinta lokasi hanya disebabkan video yang memaparkan mereka sedang bersiap untuk penggambaran, tular di TikTok, baru-baru ini.
Malah, Meerqeen yang menerajui drama berkisar kisah anggota tentera itu meminta netizen kemukakan bukti dia dan Qasrina kerap menghasilkan video bersama.
“Saya tak tahu pun kami selalu buat video bersama? Setakat ini, kami hanya ada satu video sahaja.
“Saya tak nampak (video) dan perkara itu tidak viral pun. Mungkin apa yang tular adalah sebahagian daripada babak dalam drama yang kami lakonkan,” katanya ditemui pada sidang media Home Of Drama di sini, baru-baru ini.
Sebelum ini, Meerqeen pernah dikaitkan dengan aktres kacukan Anna Jobling ketika digandingkan dalam drama fenomena, Melur Untuk Firdaus.
Sementara itu, berkongsi mengenai drama Thariq Ridzuwan: His Treasure, Meerqeen berkata, dia tidak tercabar apabila ada pihak mempertikai pemilihannya untuk menerajui drama adaptasi novel karya Huda Najwa itu.
“Saya pun tak baca komen atau ambil tahu apa yang orang katakan mengenai saya. Sebaliknya, saya fikir lebih teruja hendak buktikan saya mampu bawa watak Thariq Ridzuwan dengan baik.
“Bagi saya, mereka yang mengkritik terlebih dahulu tanpa melihat visual, samalah seperti orang yang jatuh hukum makanan tak sedap tanpa merasanya,” katanya.
Thariq Ridzuwan mengisahkan seorang tentera unit khas berpangkat leftenan yang merasa bersalah terhadap Husniya Radwa yang menghidap masalah kemurungan.
Sumber – Berita Harian





