Wednesday, April 29, 2026
HomeHIBURANMaher Zain Kembali Ke Malaysia Dengan Malam Dan Muzik Yang Penuh Makna

Maher Zain Kembali Ke Malaysia Dengan Malam Dan Muzik Yang Penuh Makna

KUALA LUMPUR, 1 SEPTEMBER 2025 – Selepas penantian selama enam tahun, “The Journey to the Far East: Maher Zain — The Live Experience (Kuala Lumpur)” akhirnya menggegarkan pentas Idea Live Arena, 3 Damansara, malam tadi. Dianjurkan oleh Yayasan Tengku Abdullah (YTA) dengan kerjasama promoter konsert rasmi, Hitman Solutions dan Happymoon, acara ini menghimpunkan lebih 5,000 peminat yang bersama-sama meraikan kepulangan semula artis muzik kerohanian bertaraf dunia, Maher Zain. Ribuan peminat sudah mula memenuhi lokasi sejak lewat petang. Mereka terdiri daripada remaja, pasangan muda, serta keluarga yang hadir bersama anak-anak, mencerminkan tarikan Maher Zain yang merentasi pelbagai generasi.

Malam tersebut bermula dengan lagu “Assalamu Alayka”, antara karya ikonik Maher Zain yang serta-merta menukar suasana dewan menjadi lautan suara yang bergema serentak. Hampir selama dua jam, Maher Zain mempersembahkan rangkaian lagu-lagu kegemaran ramai yang telah membentuk perjalanan rohani jutaan peminat di seluruh dunia. Antara lagu yang dipersembahkan termasuk “InshaAllah”, “Alayka Salla Allah”, “Baraka Allahu Lakuma”, “Close To You” dan “For The Rest of My Life”. Ada yang menitiskan air mata, ada yang berpelukan bersama keluarga, malah ramai yang mengangkat tangan sambil diselubungi rasa ketenangan dan penuh kesyukuran.

Suasana mencapai kemuncaknya apabila ribuan suara menyanyi bersama-sama dan mencipta keharmonian yang terasa seperti pertemuan semula penuh kerinduan antara Maher Zain dan peminatnya di Malaysia. “Malam ini saya sungguh tersentuh. Malaysia akan sentiasa berada di tempat yang istimewa dalam hati saya. Terima kasih kerana menyokong saya selama ini. Insya-Allah, saya akan kembali lagi,” ujar Maher Zain penuh rasa terharu, sebelum menutup malam dengan lagu “Ya Nabi Salam Alayka”.

YM Tengku Shaheera binti Tengku Tan Sri Abdullah, sebagai Pengerusi dan Pengasas YTA berkata, “Kami berasa amat berbesar hati dapat menganjurkan konsert sulung ini bersama Maher Zain, seorang artis yang karya muziknya mendalami nilai serta mesej yang seiring dengan pendirian Yayasan Tengku Abdullah. Bagi kami di YTA, ini lebih dari sekadar sebuah konsert, ia adalah cerminan iman, kemanusiaan, dan kasih sayang. Apabila kita menyaksikan ribuan orang berhimpun di bawah satu bumbung untuk meraikan mesej cinta dan harapan, ia adalah satu peringatan bahawa muzik mampu menyatukan hati. Kami amat bersyukur kerana dapat menjadi sebahagian daripada detik istimewa ini dan berharap dapat meneruskan misi kami untuk mengangkat serta memperkasa komuniti melalui inisiatif yang bermakna.”

 The Journey To The Far East: Maher Zain — The Live Experience (Kuala Lumpur), bukan sekadar hiburan, tetapi merupakan sebuah malam penuh makna. Setiap bait lirik, setiap melodi, dan setiap detik di pentas mencipta kenangan yang akan terus terpahat dalam hati para peminat. Bagi mereka yang hadir, ia adalah persembahan yang membawa peringatan tentang cinta, harapan, rasa kesyukuran, dan paling utama, kepentingan komuniti.

Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada rakan kongsi konsert: Era FM, Sinar FM, Zayan FM dan Syok (Rakan Radio), Says Seismik, World of Buzz dan Lobak Merah (Rakan Media), Hitman Solutions dan Happymoon (Promoter Rasmi), dengan kerjasama Awakening Music.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Artis Baharu, Jangan Hilang Jati Diri Sebab Rasa Diri Gah’

0
PETALING JAYA – Dua dekad bergelar anak seni, pelakon Iqram Dinzly menitipkan pesanan buat pelakon baharu usah terleka dan terlalu bermegah dengan populariti dimiliki...

CATEGORIES