SHAH ALAM: Pempengaruh yang juga suami kepada Siti Jamumall iaitu Khairul Aiman Abdul Kudus menafikan lafaz talak dan perceraian yang berlaku dalam rumah tangganya adalah gimik.
Aiman, 22, ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam berkata, dia juga tidak menjangka situasi itu akan berlaku dalam rumah tangganya.
“Berhubung dakwaan bahawa isu ini hanyalah satu gimik pemasaran, saya ingin jelaskan bahawa semasa siaran langsung malam kejadian, saya sendiri ada bertanya kepada Siti sama ada ini adalah untuk tujuan pemasaran.
“Saya langsung tidak menjangkakan perkara itu berlaku. Saya baru pulang dari kerja, dalam keadaan penat dan sedikit tertekan malam itu. Jadi saya tegaskan, ini bukan gimik.
“Kalau mahu tahu sama ada ia satu bentuk strategi pemasaran, kena tanya Siti kerana dia yang memulakan siaran langsung itu. Mungkin hanya dia yang tahu sama ada ia disengajakan untuk meningkatkan jumlah tontonan atau tidak.
“Daripada pihak saya, saya yakin ini bukan gimik. Namun, saya tidak boleh bercakap bagi pihak dia. Saya juga tidak tahu jika saya dijadikan sebagai bahan untuk mencipta gimik. Itu saya tak pasti,” katanya.
Ditanya mengenai reaksi keluarga selepas video lafaz talak itu tular di media sosial, Aiman berkata, keluarganya bersikap adil dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.
“Pihak keluarga saya pula tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan tidak campur tangan dalam hal ini. Mereka menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada saya.
“Ibu saya sendiri berkata bahawa ini adalah keputusan saya dan seluruh keluarga saya, menyatakan perkara yang sama. Mereka tidak memihak kepada Siti dan juga tidak memihak kepada saya.
“Mereka tidak memuji atau menyalahkan sesiapa. Mereka hanya mahu perkara ini diselesaikan dengan baik, kerana bagi mereka, mencari solusi yang damai dan matang itu jauh lebih penting daripada terjebak dalam kontroversi,” katanya.
Terdahulu, berlaku ketegangan antara Aiman dan Siti dan tindakan Aiman melafazkan talak kepada Siti disaksikan lebih 25,000 penonton yang sedang menonton siaran langsung di media sosial Siti.
Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam hari ini menetapkan tarikh 21 Julai ini untuk sebutan pertama.
Sumber – Berita Harian





