Friday, October 2, 2026
HomeHIBURANHannah Delisha Sedia Kembali Berduet Dengan Awie, Termasuk Hasilkan Lagu

Hannah Delisha Sedia Kembali Berduet Dengan Awie, Termasuk Hasilkan Lagu

KUALA LUMPUR – Selepas dua kali berduet dengan Datuk Awie dalam persembahan berskala besar, pelakon dan penyanyi, Hannah Delisha terbuka untuk kembali bekerjasama dengan vokalis kumpulan rock terbabit, termasuk menghasilkan lagu bersama.

Hannah atau nama sebenarnya, Hannah Adlina Blackburne Birch, 29, berkata, pengalaman bekerja dengan Awie memberikan kesan positif kepadanya, selain mendapat maklum balas baik daripada penonton.

Justeru, katanya, dia tidak menolak sekiranya diberikan peluang untuk menghasilkan lagu duet bersama penyanyi terbabit pada masa akan datang.

“Sebenarnya kalau diberikan peluang dan rezeki untuk saya bekerjasama lagi dengan Datuk Awie, mungkin buat lagu atau apa-apa, mengapa tidak? Saya suka bekerja dengan dia,” katanya.

Mengulas kerjasama mereka menerusi Konsert Awie Rock King – Last Man Standing 2026, September lalu, Hannah berkata, peluang berkenaan amat dihargainya kerana ia hadir tanpa perancangan awal.

Alhamdulillah, sebenarnya ini kali kedua saya berduet dengan Datuk Awie. Benda ini sangat ‘unexpected’ dan tidak ada perancangan apa-apa. Mungkin inilah susunan Allah.

“Saya terlalu sibuk dengan lakonan. Dunia nyanyian dan lakonan adalah dua dunia yang berbeza. Setakat ini, saya belum ada pengurus yang boleh membantu saya dalam bidang nyanyian.

“Saya pun kini bergerak secara sendiri. Jadi, apabila dapat tawaran untuk berduet dengan Datuk Awie, takkan saya mahu katakan tidak,” katanya yang kini membintangi drama The Hidden Hand (Dia Perempuan Sialan).

Sebelum itu, pelantun lagu Esok Masih Ada itu turut diundang menjayakan konsert Awie di Singapura.

Hannah berkata, tawaran berkenaan diterimanya selepas Awie mencari penyanyi yang mempunyai kebolehan berlakon dan berasal dari Singapura.

“Untuk konsert di Singapura, Datuk Awie mencari penyanyi yang boleh berlakon dan juga orang Singapura. Bila dia dapat tahu mengenai saya, dia tawarkan kepada saya.

“Masa itu saya tengah ‘shooting’, jadi Alhamdulillah dapat susun jadual dengan pengurus produksi. Dapatlah rezeki untuk duet dengan dia,” katanya.

Hannah mengakui agak gementar untuk membuat persembahan di hadapan ribuan penonton, lebih-lebih lagi dia kini lebih banyak memberi tumpuan kepada bidang lakonan.

Katanya, sambutan terhadap persembahan mereka juga di luar jangkaannya, terutama apabila berpeluang menyanyi di hadapan kira-kira 20,000 penonton.

“Saya tak jangka untuk konsert kali kedua dapat sambutan lebih besar, apatah lagi saya menyanyi di hadapan 20,000 penonton.

“Kita yang tidak berapa selalu menyanyi ini, apabila dapat tawaran itu, jantung macam nak gugur juga.

“Tetapi dengan latihan dan mungkin Datuk Awie percaya yang saya boleh bawa lagu itu, saya buat yang terbaik,” katanya

Dalam pada itu, Hannah berkata, dia kini menerima beberapa tawaran daripada komposer untuk menghasilkan karya baharu, termasuk daripada seorang komposer dari Brunei.

Bagaimanapun, Hannah belum bersedia berkongsi lebih lanjut mengenai projek berkenaan dan memilih untuk menunggu masa yang sesuai sebelum mendedahkan perancangannya.

Katanya, buat masa ini dia masih memberi tumpuan kepada komitmen lakonan, selain terbuka untuk meneruskan langkah dalam bidang muzik sekiranya ada peluang yang sesuai.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

MINDEF Perkukuh Ketahanan Rakyat Menerusi Program Literasi Pertahanan Nasional

0
KOTA KINABALU - Kementerian Pertahanan (MINDEF) melancarkan Program Literasi Pertahanan Nasional bagi membina ketahanan rakyat melalui peningkatan kefahaman dan kesedaran masyarakat mengenai tanggungjawab mempertahankan...

CATEGORIES