Semenyih: Hanya kerana mempunyai Sindrom Tics (keadaan neurologi pergerakan berulang atau tidak dapat dikendali), Muhammad Iqbal Hakimi Abdullah pernah dilabel sebagai orang kurang upaya (OKU) dan autistik oleh segelintir individu yang tidak memahami keadaan dirinya.
Bukan setakat itu, ada juga mengejeknya kerana kerap mengenyit mata disebabkan masalah berkenaan dan menganggapnya sengaja berbuat begitu bagi meraih perhatian kerana zahirnya kelihatan normal.
Lantaran itu, Muhammad Iqbal Hakimi, 19, dari sini, mengakui hilang keyakinan diri dengan penerimaan segelintir individu terhadapnya sebelum menyedari kelainan yang ada membuatkannya nampak unik.
“Saya ada (sindrom) Tics sejak di sekolah rendah, dan tabiat awal saya adalah suka kembangkan hidung kemudian kenyit mata kanan dan kini cenderung serta kerap kelip kedua-dua mata.
“Pada mulanya saya ingat ia sekadar tabiat, tapi lama kelamaan apa dilakukan itu berterusan sampai jadi letih jika menahan daripada kenyit mata,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini.
Katanya, dia mencari maklumat melalui pembacaan bagi mendapatkan kepastian selain merujuk pakar sebelum menyedari mengalami sindrom Tics ini.
“Pada awalnya saya memang berasa tak yakin nak hadap orang sampai berjalan pun tunduk, hanya tengok bawah saja kerana enggan ada yang sedar lebih-lebih lagi waktu sekolah sebab kawan suka mengajuk.
“Tapi lama-kelamaan nampak ia (tics) macam identiti yang buat saya lebih mudah dikenali dan tak terfikir nak dapatkan rawatan kerana difahamkan ia akan beransur hilang apabila meningkat dewasa,” katanya.
Bercerita lanjut, Muhammad Iqbal Hakimi berkata, keluarganya tidak mengetahui mengenai sindrom yang dialaminya pada peringkat awal sehingga dia menjelaskan hal sebenar kepada mereka.
“Keluarga boleh terima keadaan ini dan tidak menganggap satu kelainan kerana sudah biasa melihatnya melakukan tabiat berkait dengan Tics,” katanya.
Berhubung perkongsiannya di TikTok pula, Muhammad Iqbal Hakimi berkata, dia tiada niat lain kecuali berkongsi kisahnya sekali gus memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai Tics.
“Perkongsian itu sebenarnya dibuat kerana baru-baru inu, ada bertanya mengenai keadaan saya dalam satu acara di kampus.
“Ia membuatkan saya tergerak hati untuk berkongsi kisah dan pengalaman sebagai individu yang ada sindrom Tics kerana nak tahu juga adakah saya seorang saja begitu.
“Tak sangka video saya akan tular dan bila baca ruangan komen baru saya tahu ramai rupanya ada Tics. Ada komen positif, ada juga negatif namun lebih ramai beri kata semangat buat saya,” katanya.
Menyedari kurangnya pendedahan mengenai sindrom Tics mendorong penuntut Diploma Sumber Manusia di Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCCeD), Cyberjaya berazam memberi kesedaran kepada masyarakat menerusi perkongsian di TikTok.
Sumber: Harian Metro