Sunday, November 16, 2025
HomeHIBURANDatuk Seri Siti Kongsi Ilmu Dalam Bidang Keusahawanan Untuk Mahasiswa

Datuk Seri Siti Kongsi Ilmu Dalam Bidang Keusahawanan Untuk Mahasiswa

Sumbangan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak hanya terhad dalam bidang seni, bahkan, kemampuannya dalam bidang keusahawanan dan perniagaan turut mendapat penghargaan besar.

Pelantun lagu Bukan Cinta Biasa itu dilantik sebagai Profesor Adjung dalam bidang Keusahawanan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Siti, 46, meluahkan rasa berbesar hati untuk menggalas tugasan ini dan pada masa sama, memberikan sumbangan ilmu serta pengalaman kepada mahasiswa.

“Sebelum terima, saya melihat kepada besarnya tanggungjawab dan apa komitmen yang saya boleh beri dengan tugasan yang sudah dipersetujui.

“Ini adalah peluang untuk saya memberi semula kepada masyarakat. Peluang menjadi usahawan itu terbuka luas sebenarnya buat semua.

“Saya diberitahu, ada beberapa komitmen untuk saya sebagai Profesor Adjung dan pada masa sama, saya akan kongsikan bagaimana untuk menjadi usahawan berjaya dengan pengalaman yang saya ada,” katanya.

Berkongsi mengenai dunia keusahawanan, Siti berkata, ruang dan peluang sememangnya terbuka luas buat mereka yang ingin menceburi bidang itu.

“Terpulang kepada mahasiswa, bagaimana untuk jadikannya kerjaya yang membanggakan. Bukan sahaja kita membuka perniagaan untuk keuntungan tetapi juga memberi manfaat kepada orang lain.

“Sebaiknya, keusahawanan ini dimulakan dari muda. Ramai sekali penuntut dalam bidang keusahawan yang mempunyai kelebihan yang boleh dicungkil dan dibangunkan.

“Tinggal lagi, kena ada keberanian dan ilmu untuk menghadapi cabaran di dunia sebenar.

“Dunia sebenar di luar sana sangat mencabar dan saya sudah melaluinya. Saya ada tenaga dari pasukan profesional di belakang saya,” katanya.

Tambahnya, beberapa rancangan sudah diatur untuk memastikan komitmennya dalam dijalankan secara tersusun.

“Ada beberapa rancangan juga untuk kolaborasi dengan pelajar dalam bidang ini bagi mencabar mereka agar dapat buat persediaan sebelum menamatkan pengajian.

“Melihat pengurusan masa saya, kita akan sesuaikan mengikut kemampuan dan jadual. Kalau tak, kita akan bawa pelajar ke lokasi lain memandangkan saya juga ada tempat yang boleh dijadikan lokasi latihan untuk pelajar,” katanya.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, ini adalah peluang berharga khususnya untuk warga UiTM menerima ilmu dan pengalaman terus daripada seorang tokoh perniagaan.

“Di samping lantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Yayasan Nurjiwa juga akan terbabit dalam interaksi dengan UiTM antaranya sumbangan dan latihan.

“Peluang ini memberi kami di UiTM ruang untuk berdamping dengan dua tokoh dalam dunia perniagaan iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa,” katanya. Sementara itu, Dekan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM, Profesor Dr Shafinar Ismail berkata, pihaknya mensasarkan peningkatan prestasi pelajar daripada kolaborasi ini.

“Kita mulakan dengan program Syarahan Perdana (6 November). Kemudian ada beberapa program susulan serta latihan bersama Datuk Seri.

“Kita menyasarkan dalam tempoh dua tahun lantikan ini, prestasi pelajar boleh meningkat daripada statistik sekarang,” katanya.

Siti mula menggalas tanggungjawab sebagai Profesor Adjung bermula 15 Oktober 2025 hingga 15 Oktober 2027.

Sumber – Harian Metro

Must Read

Walau Sedang Berpantang, Yana Samsudin Hadir Terima Ijazah Sarjana

0
"Sepatutnya hari ini saya bersalin… tapi takdir memberi saya peluang menjejak pentas konvokesyen!" Demikian kongsi, pelakon dan penyanyi, Yana Samsudin selepas selesai istiadat konvokesyen untuk...

CATEGORIES